OLEH NAZLI IBRAHIM
SABAK BERNAM, 13 MEI: Kedatangan mengejut Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke Pasar Sari di Pekan Sari Parit 13, Sungai Panjang di sini pagi tadi menarik perhatian para peniaga dan pengunjung yang berada di situ.
Antaranya, termasuklah dua pengunjung wanita berusia sekitar 30-an yang perbualannya secara tidak sengaja didengari SelangorKini ketika membuat liputan di kawasan berhampiran.
“Bukan senang hendak jumpa orang besar datang ke Pasar Sari begini dengan berkain pelikat sahaja,” kata pengunjung itu yang kemudiannya disambut secara spontan seorang wanita lain bersamanya.
“Betullah, Menteri Besar kita ini nampak sangat dia sudah biasa turun tempat macam ini. Siap pakai kain pelikat lagi. Bukan senang nak dapat Menteri Besar begini. Ini baru ‘rare’,” sambut wanita kedua itu pula.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas turut tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan bersalaman dengan Mohamed Azmin.
Mohamed Azmin dalam lawatannya di Pasar Sari pagi tadi sempat bertanya khabar dan berbual mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar pagi itu.
Sebelum itu, Mohamed Azmin memulakan pagi Jumaatnya dengan menunaikan solat subuh di Surau Taman Berkat sebelum bersarapan di Restoran Sri Kassim bersama jemaah Surau Berkat.
Beliau kemudiannya tidak melepaskan peluang mendekati dan minum bersama masyarakat kampung di sebuah gerai yang terletak di tepi jalan Parit 13 dan kemudiannya meluangkan masa untuk menziarah sebuah keluarga di sebuah rumah berhampiran gerai terbabit.
-AA-