Categories
NASIONAL

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar berlangsung serentak 18 Jun

OLEH : AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 13 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi dua kerusi Parlimen P0.67 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar berlangsung serentak pada 18 Jun 2016.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, PRK kali ini juga bakal berlangsung dalam bulan Ramadan dengan anggaran kos RM2.7 juta.

SPR“Penamaan calon akan berlangsung pada Ahad, 5 Jun 2016 sementara pengundian awal pada Selasa, 14 Jun 2016.

“Pengundian akan dilangsungkan pada 18 Jun 2016,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya selepas bermesyuarat lebih dua jam.

Penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi Parlimen Sungai Besar berlangsung di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Selangor.

PRK P0.93 Sungai Besar akan menggunakan daftar pemilih induk 2015 yang dikemaskini sehingga 6 Mei 2016 yang diperakui dan diwartakan pada 16 Mei 2016 seramai 42,655 pemilih berdaftar.

Mengikut pecahan 42,365 daripadanya adalah pengundi biasa, 286 pengundi awal dan empat pemilih tidak hadir luar negara.

PRKSementara PRK 0.67 Kuala Kangsar akan menggunakan daftar pemilih induk 2015 yang dikemaskini sehingga 7 Mei 2016 yang diperakui dan diwartakan 17 Mei 2016 seramai 32,949 pemilih berdaftar.

Mengikut pecahan 32,632 daripadanya adalah pengundi biasa, 312 pengundi awal dan lima pemilih tidak hadir luar negara.

SPR telah menetapkan lokasi penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak.

Daftar pemilih kedua-dua PRK akan mula dijual pada 2 Jun 2016.

Mohd Hashim berkata, SPR akan mempertimbangkan permohonan pelantikan pemerhati tempatan dan berharap parti bertanding menjaga etika terutama bagi menghormati bulan Ramadan.

Sebelum ini, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu pernah dilangsungkan dalam bulan Ramadan.

Kedua-dua kerusi Parlimen kosong selepas penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Khairil Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sembuyau, Sarawak.

-nR-

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.