Categories
SELANGOR

MBSA didik masyarakat mesra alam semasa Ramadan

OLEH : SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Dalam usaha mendidik masyarakat ke arah mesra alam semasa Ramadan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Majlis Pelancaran Kempen Masjid dan Surau Lestari (Go Green) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, pada 15 Mei lalu.

Pegawai Komunikasi Korporat, Shahrin Ahmad, berkata kempen itu bertujuan untuk memupuk amalan kitar semula sisa buangan bahan dapur dan sisa makanan kepada bahan yang lebih berfaedah.

MBSAKatanya ia dijalankan di kalangan penduduk Shah Alam khususnya Jawatankuasa Masjid dan Surau di sepanjang Bulan Ramadan.

“Kempen itu juga dilaksanakan bagi menggalakkan komuniti Shah Alam ke arah pengurangan penggunaan bekas makanan daripada polisterin serta bahan tidak mesra alam.

“Bagi memastikan keberkesanannya, MBSA memberi fokus kepada tujuh teras iaitu menerapkan amalan 3R (Reduce, Reusa & Recycle), kesedaran penjimatan air dan elektrik, amalan Eco-5S, membantu memelihara alam sekitar, bertukar kepada Eco Menu@Menu Sihat dan mengamalkan gaya hidup lestari,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, antara pengisian kempen itu dengan mengadakan Sesi Taklimat Pengurusan Sisa Pepejal, Taklimat Amalan Hijau dan Taklimat Masjid Lestari Agenda Imarah Amanah Khalifah dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Ia juga merupakan salah satu inisiatif MBSA ke arah perlaksanaan Inisiatif Hijau selaras dengan pelan tindakan Alam Sekitar: Meningkatkan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal yang Terancang dan Berkesan.

“MBSA juga menyasarkan agar kempen ini dijadikan sebagai amalan berterusan komuniti bukan pada Ramadan sahaja serta meningkatkan kefahaman dan pengetahuan penduduk mengenai amalan hijau dan mengeratkan hubungan di antara pihak Majlis, NGO dan warga Shah Alam.

Majlis Pelancaran Kempen Masjid & Surau Lestari (Go Green) disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.