Categories
SELANGOR

Pembangunan perumahan mampu milik PKNS, tingkat ekonomi masyarakat

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MEI : Inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk terus membangunkan projek perumahan mampu milik dapat menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.

Pengurus Besarnya, Azlan Md Alifiah, berkata walaupun harga rumah mampu milik dijual pada kadar minimum, namun pihaknya optimis pembangunan itu mampu meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu.

“Pembangunan tanah rizab Melayu ini tetap menguntungkan walaupun ianya tidaklah selumayan harga perumahan di atas tanah berstatus biasa.

PKNS“Namun keutamaannya, kami percaya pembangunan ini akan meningkatkan lagi nilai hartanah dan ekonomi masyarakat setempat.

“Bahkan ia sekali gus dapat meningkatkan juga gaya hidup sosial masyarakat khususnya orang Melayu di kawasan pinggir bandar,” katanya.

PKNS merupakan antara peneraju kepada projek perumahan Rumah Selangorku yang dijual pada kadar sehingga RM250,000 seunit bergantung kepada jenis keluasan, lokasi dan kemudahan tambahan.

Syarat permohonan bagi pembelian rumah berkenaan adalah pendapatan bulanan isi rumah tidak lebih dari RM8,000 sebulan; tidak memiliki sebarang jenis kediaman lain di Selangor dan tujuan pembelian adalah semata-mata untuk mendiami bukan disewakan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, Kerajaan Negeri akan terus memastikan masyarakat Selangor mampu memiliki kediaman pertama pada harga berpatutan.

Pada masa sama, harga rumah mampu milik PR1MA oleh Kerajaan Persekutuan dilihat agak kurang relevan memandangkan harga jualan tinggi dan sukar dimiliki golongan rakyat berpendapatan sederhana.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.