Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu peneroka bandar miliki rumah

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM10.77 juta diperuntuk bagi membantu peneroka bandar mendapatkan pembiayaan memiliki kediaman menerusi Tabung Amanah Rumah Mampu Milik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2024 itu membolehkan pembelian unit sebelum dijadikan Skim S2-OWN.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh peneroka bandar sejak sekian lama terutamanya kegagalan pemohon untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 49 projek melibatkan 84,192 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga 31 Ogos tahun ini.

“Angka ini telah melebihi sasaran Kerajaan Negeri untuk membina 30,000 unit menjelang tahun 2023.

“Insentif ini membenarkan pemaju meminda syarat daripada Rumah Selangorku Jenis A, Jenis B, Jenis C dan Jenis D kepada satu jenis sahaja iaitu Rumah Selangorku Jenis E (Khas) atau dikenali sebagai Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI,” katanya.

Beliau menjelaskan rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dengan harga jualan tidak lebih RM250,000 seunit itu turut dilengkapi dengan kelengkapan asas antaranya pendingin hawa, kabinet televisyen, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

348 projek rumah mampu milik lulus setakat 30 September

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri meluluskan 348 projek membabitkan 205,584 unit pembangunan rumah mampu milik Rumah Selangorku setakat 30 September lalu.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata daripada jumlah itu sebanyak 24,090 unit siap dibina dan diserahkan kunci manakala 18,825 sedang dibina.

“Secara keseluruhan melalui pelaksanaan dasar Rumah Selangorku Kerajaan Negeri berjaya membantu seramai 42,915 individu yang juga merupakan pembeli rumah pertama yang rata-ratanya pasangan muda.

“Saya difahamkan mereka juga antara penyewa Rumah Selangorku yang kini bertukar status daripada menyewa kepada memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Iris Fasa 1C, Taman Bunga Raya, Serendah, Hulu Selangor semalam.

Menurutnya inisiatif menyewa kepada membeli kediaman itu juga menyumbang kepada perkembangan ekonomi di Selangor yang dianggarkan bernilai RM6.30 bilion.

“Kita jangka rumah yang sedang dibina ini siap secara berperingkat dan pembeli boleh duduk bermula akhir tahun ini sehingga 2023,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan dasar Rumah Selangorku sejak tahun 2014 dengan menawarkan kepelbagaian harga bermula dari RM42,000 sehingga RM250,000 seunit.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS rancang bina lebih banyak rumah mampu milik di bandar

SHAH ALAM, 4 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan bandar pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Mahmud Abbas berkata perancangan itu bagi memberi peluang kerjaya kepada penduduk dari luar bandar sekali gus berhampiran dengan kemudahan awam.

“Jika kita bina rumah mampu milik di kawasan pedalaman dan jauh dari pusat bandar, orang tidak mahu tinggal di situ dan akhirnya akan berlaku pembaziran.

“Oleh itu, saya bercadang PKNS bina lebih banyak rumah mampu milik berhampiran LRT (transit aliran ringan) dan bangunan kedai yang mana pada masa sama beri peluang masyarakat berniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Lafaz Ikrar Integriti dan Antirasuah di Pejabat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Mengulas mengenai cadangan lokasi rumah mampu milik, Mahmud berkata pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu kesesuaian lokasi dan bergantung kepada permintaan masyarakat.

“Sekiranya ada permintaan rumah mampu milik di Shah Alam atau Petaling Jaya, kita akan bina, tetapi buat masa ini PKNS tiada tanah di situ…jika ada peluang usaha sama dengan mana-mana pihak kita akan cuba untuk laksana,” katanya.

Mahmud dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baharu PKNS berkuat kuasa 1 Oktober bagi menggantikan Siti Zubaidah Abd Jabar yang bersara pada 10 Ogos.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Brighton juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan pengarah urusan Central Spectrum Sdn Bhd.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor lulus 341 projek rumah mampu milik setakat 31 Ogos

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan 341 projek pembangunan rumah mampu milik membabitkan 204,871 unit setakat 31 Ogos, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata berdasarkan jumlah itu 23,379 unit membabitkan 68 projek sudah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pemiliknya.

“Manakala sebanyak 19,495 unit iaitu 57 projek dalam pembinaan dan boleh diduduki bermula akhir tahun ini sehingga 2023.

“Melalui pelaksanaan Dasar Rumah Selangorku ini, Kerajaan Negeri berjaya membantu sebanyak 42,874 pembeli yang khususnya merupakan pembeli rumah pertama dan dalam pasangan muda untuk bertukar daripada menyewa kepada memiliki kediaman mereka sendiri,” katanya.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail mendengar penerangan dari Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Dato’ Hoo Kim See berkaitan rumah contoh sempena penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Alam Suria, Jeram, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Taman Alam Suria, Kuala Selangor hari ini.

Sementara itu, Rodziah menyarankan pemaju yang tertangguh pembinaan segera mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lanjutan waktu pembinaan.

“Contohnya tempoh projek perlu disiapkan 36 bulan tetapi tertangguh disebabkan PKP, mereka boleh berbincang dengan PBT untuk operasi waktu pembinaan kerana ia bergantung kepada PBT,” katanya.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dan menumpukan golongan berpendapatan rendah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Janji sejuta rumah mampu milik boleh dicapai dalam 10 tahun

PUTRAJAYA, 2 JAN: Kerajaan berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran membina 1 juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun menjelang 2028 seperti digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Berkongsi perkembangan ​​​​​pelbagai projek perumahan yang rancak dibangunkan serta dirancang di seluruh negara, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pemaju-pemaju swasta turut menyatakan kesediaan untuk membina lebih banyak rumah berharga RM300,000 ke bawah yang mempunyai permintaan tinggi rakyat.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 39,864 unit rumah mampu milik telah siap dibina dan 181,211 unit lagi dalam proses pembinaan, manakala 386,340 unit pula dalam status perancangan di seluruh negara.

“Untuk KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), ini janji yang besar dengan sasaran kita 100,000 unit setahun. Pemaju swasta turut terlibat dengan aktifnya dalam pembinaan rumah mampu milik ini,” katanya dalam wawancara bersama Bernama baru-baru ini.

Rumah-rumah di bawah kategori lain juga rancak dibangunkan, antaranya 3,898 unit di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), 4,448 unit Rumah Transit Belia dan 4,245 unit di bawah Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), yang kesemuanya siap dibina pada tahun ini, katanya.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) turut menyediakan rumah kepada 4,989 keluarga di seluruh negara dengan 3,019 daripadanya ialah Rumah Mesra Rakyat, manakala 1,970 lagi unit Rumah Mampu Milik SPNB, katanya.

Berkongsi pengalaman dalam beberapa pertemuannya dengan pemaju-pemaju swasta, Zuraida berkata, mereka memahami tentang keperluan pasaran terhadap rumah di bawah RM300,000 dan akan menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan pembinaan rumah mewah.

“Mereka juga faham rumah-rumah mahal tidak terjual atau masih lagi dalam proses untuk penjualan, jadi tidak bertepatan kalau mereka terus membina rumah-rumah yang mahal,” katanya.

Menurut Zuraida, isu lambakan rumah mewah yang tidak terjual sebelum ini berlaku berikutan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah kerana ketiadaan data yang tepat untuk aktiviti perancangan.

Bagi menangani isu itu pada masa akan datang, KPKT sedang membangunkan sistem data raya yang akan memberikan maklumat berdasarkan unjuran keperluan rumah mengikut lokasi dan harga yang bersesuaian, katanya.

“Sistem ini dijangka siap menjelang akhir tahun 2020. Dengan adanya data ini, ia akan memberikan analisis perancangan perumahan yang lebih tepat terutamanya untuk pemaju swasta,” katanya.

Zuraida berkata, KPKT turut menekankan aspek keselesaan pembeli rumah dengan menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik pada 900 kaki persegi serta kemudahan lain seperti tempat riadah dan dewan yang tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).

“Kita sedang memperkemaskan mekanisme ini. Rumah yang ikut kaedah baharu ini sekarang dalam proses tender, jadi dalam tahun 2020, pembinaan rumah di bawah KPKT akan ikut spesifikasi DRMM,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha meningkatkan kadar pemilikan rumah melalui pelbagai program termasuk RTO (sewa untuk dimiliki) bagi membantu bakal pembeli unit PPR yang tidak layak dibiayai melalui institusi kewangan.

“Kalau mereka mampu untuk membayar sewa bulanan dengan berdisiplin, ia boleh digunakan sebagai dokumen sokongan untuk membuat pinjaman apabila mereka telah bersedia,” katanya.

Sebanyak tujuh projek RTO telah dilaksanakan iaitu dua di Selangor, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM596 juta Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara diluluskan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang bernilai RM596 juta telah diluluskan setakat 31 Oktober, 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata BNM dan institusi kewangan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi membantu pembeli rumah dengan menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sejak Januari tahun ini.

“Penambahbaikan telah berkuat kuasa pada 1 September, 2019. Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) tentang sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh BNM untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Melalui dana tersebut, Lim berkata pembeli rumah pertama, terutama golongan muda, akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana dengan kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46,873 unit rumah mampu milik akan dibina mulai tahun depan

PUTRAJAYA, 8 NOV: Sebanyak 46,873 unit rumah mampu milik swasta dengan harga jualan tidak melebihi RM300,000 seunit, akan dibina dalam tempoh tiga tahun, di enam negeri bermula tahun hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Pembinaan 16,873 unit rumah akan dilaksanakan 11 syarikat swasta di atas tanah milik persendirian syarikat terbabit, manakala sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) pula terlibat membina 30,000 unit, katanya.

Zuraida berkata projek perumahan dengan keluasan minimum 900 kaki persegi setiap rumah itu akan dilaksanakan di lokasi strategik seperti Puchong, Rawang, Sepang dan Shah Alam di Selangor, Sungai Besi, Sentul dan Setapak di Kuala Lumpur serta di Melaka, Terengganu, Johor dan Sabah.

“Walaupun dibina di tanah milik swasta, kementerian beri syarat-syarat untuk menyertai projek, antaranya lokasi mestilah di pinggir bandar utama, dekat dengan kemudahan asas seperti pengangkutan dan sekolah,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Projek Perumahan Mampu Milik (Swasta) di sini hari ini.

Selain itu, pemaju juga diingatkan supaya menyediakan kemudahan infrastruktur lengkap seperti kolam renang, dewan serba guna, surau dan taman permainan di setiap projek perumahan, katanya.

Zuraida berkata kementerian juga sedang dalam perbincangan, membangunkan projek perumahan mampu milik swasta kumpulan kedua antara 15 dan 20 lagi projek bersama pemaju swasta yang lain, yang dijangka dapat dimuktamadkan Januari depan.

Dalam perkembangan lain, Zuraida menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah memberikan lanjutan masa (EOT) kepada pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau berkata Jabatan Perumahan Negara amat tegas dalam soal pemberian EOT di mana pertimbangan pemberian lanjutan masa, hanya akan diberi kepada projek yang belum bermula, bukannya yang telah bermula tetapi gagal disiapkan pemaju dalam waktu dipersetujui, antara pemaju dan pembeli.

“Di bawah kerajaan baharu memang kita tidak pernah memberikan EOT pada projek yang telah bermula, demi menjaga kepentingan pembeli,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM perluas kriteria kelayakan dana rumah mampu milik

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperluaskan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion.

Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika mengumumkan mengenai perkara itu berkata pendapatan bulanan isi rumah yang layak telah dinaikkan kepada RM4,360 daripada RM2,300 sebelum ini, manakala harga hartanah maksimum ditingkatkan kepada RM300,000 daripada RM150,000.

Tambahan ini akan berkuat kuasa pada 1 September depan, ia merupakan satu inisiatif tambahan oleh BNM bagi membantu golongan berpendapatan di bawah 40 untuk memiliki rumah pertama mereka, katanya semasa majlis pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) di sini hari ini.

Selepas itu, dalam satu sidang akhbar, Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata BNM telah meluluskan 296 permohonan membabitkan pembiayaan bernilai RM31 juta sehingga akhir Jun 2019.

Peningkatan kelayakan dana itu akan membolehkan lebih ramai orang untuk meraih manfaat, sekali gus membantu meningkatkan kadar penggunaan dana tersebut.

“Kami belum menetapkan sebarang sasaran prestasi, tetapi tujuannya adalah bagi menangani kes-kes (permohonan pembiayaan yang ditolak) dan membantu meningkatkan kelayakan.

“Kami berharap orang awam serta peminjam yang menghadapi penolakan pembiayaan akan menggunakan kemudahan ini,” katanya.

Adnan Zaylani berkata, BNM telah menerima maklum balas bahawa ada perusahaan serta isi rumah yang menghadapi kekurangan maklumat dan kesedaran mengenai daya maju pinjaman di pasaran.

“Apabila permohonan mereka ditolak daripada satu institusi tertentu, peminjam cenderung untuk berpendapat bahawa keseluruhan ekosistem tidak akan membantu mereka.

“Dengan inisiatif ini (MyKNP), kami berharap untuk membuka perspektif mereka bahawa wujud ekosistem yang lebih besar yang boleh membantu bakal peminjam bagi mendapatkan pembiayaan atau memperbaiki peluang mereka untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.

Dana tersebut, yang mempunyai kadar pembiayaan maksimum pada kadar 3.5 peratus setahun, adalah untuk hartanah dalam pasaran utama sahaja.

Peminjam mesti pekerja bergaji atau bekerja sendiri dan tidak mempunyai mana-mana rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Rumah mampu milik buat penjawat awam bakal dibina di Shah Alam

SHAH ALAM, 27 JUL: Penjawat awam di Selangor kini mampu memiliki kediaman pangsapuri apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina rumah mampu milik di Seksyen 16, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, rumah yang akan dibina menjelang 2020 itu kini dalam peringkat kelulusan pelan bangunan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Dianggarkan sebanyak 232 unit rumah pangsapuri kos sederhana khusus untuk penjawat awam dan golongan B40 yang PKNS bina.

“Rumah yang dibina adalah pangsapuri dengan keluasan 900 kaki persegi. Pembinaan ini dibuat kerana PKNS prihatin terhadap keperluan rakyat yang inginkan lebih banyak pembinaan rumah yang mampu dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Sebelum ini, PKNS turut menawarkan kediaman kondominium di tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur kepada penjawat awam.

Peluang itu dinikmati melalui hasil kerjasama diantara syarikat milik penuh PKNS, DatumCorp International Sdn Bhd (Datum Corp) dan MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd.

Inisiatif menarik itu turut dapat membantu mempertingkatkan pemilikan hartanah berkualiti dalam kalangan penjawat awam di kota metropolis Kuala Lumpur.

Pembinaan yang dikenali dengan nama Datum Jelatek itu terletak kira-kira lima kilometer dari KLCC itu turut bersambung dengan kemudahan pengangkutan awam utama iaitu Stesen LRT Jelatek.

Pembangunan yang turut merangkumi komponen antara pusat membeli-belah dan kediaman setinggi 41 tingkat itu dijangka siap awal suku 2020.

Categories
SELANGOR

MBI-RAC kerjasama bina rumah mampu milik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 MEI: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bakal merangka rancangan pembangunan menyeluruh untuk membina rumah mampu milik di seluruh kawasan RAC, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit akan memberi tumpuan terhadap pembangunan berorientasikan transit (TOD) termasuk rumah mampu milik.

“Ini bertujuan membina komuniti mampan dan pembangunan berkenaan akan menyediakan pembangunan perumahan yang sesuai serta mampu dimiliki.

“Pembangunan itu juga akan menyediakan jaringan hubungan yang baik, meningkatkan pembangunan ekonomi di sekitar pusat transit dan bagi komuniti sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, di Elmina Community Park di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Amirudin berkata, inisiatif pembangunan itu turut mencerminkan sokongan kerajaan persekutuan dalam merealisasikan visi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

“Ia juga bakal menghubungkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu bersama perumahan mampu milik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

REHDA saran kerajaan pergiat usaha sedia rumah mampu milik

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 5 APR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor menyarankan Kerajaan Persekutuan dan Negeri supaya memainkan peranan lebih aktif untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Pengerusinya, Zulkifly Garib berkata, permintaan untuk memiliki kediaman sendiri terus bertambah, namun rakyat berdepan kekangan mendapatkan pinjaman daripada institusi berdaftar.

“Kerajaan sedang mencari jalan untuk menambah rumah mampu milik, sama juga seperti di Selangor yang memiliki permintaan tinggi, namun persoalannya adalah harga dan keupayaan mendapatkan pinjaman.

“Kerajaan juga menetapkan RM300,000 sebagai harga rumah mampu milik dan kita tahu bahawa di peringkat Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang giat melaksanakannya.

“REHDA juga banyak mengadakan perbicangan bersama kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Wisma REHDA, di sini, pada 3 April lalu.

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan EXCO dan membuat pembentangan berhubung cadangan menurunkan harga rumah.

Zulkifly berkata, REHDA turut menyarankan Kerajaan Negeri supaya memberi input kepada pemaju swasta untuk menyediakan rumah mampu milik.

“REHDA Institute sudah mengeluarkan laporan terperinci sebarang masalah atau isu semasa dan memberi cadangan bagaimana pihak berkuasa serta pemaju dapat bekerjasama juga berusaha menyediakan rumah mampu milik.

“Kerajaan Selangor dan negeri lain juga sedang sibuk untuk mencari jalan supaya menyediakan lebih banyak rumah mampu milik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Komited bantu Persekutuan sedia rumah mampu milik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri komited bergandingan bahu bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan agenda perumahan mampu milik untuk rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melalui kenyataan di laman facebook rasminya berkata, atas sebab itu, beliau turut menghadiri Mesyuarat Majlis Rumah Mampu Milik Negara bersama barisan kepimpinan negara, pagi tadi.

“Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Sementara itu, Zuraida berkata, mesyuarat terbabit adalah langkah penting bagi memastikan perancangan pembinaan rumah bagi golongan pertengahan (M40) dan rendah (B40) berjalan lancar.

“KPKT akan mempertingkatkan lagi usaha dan langkah untuk membina 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.