Categories
SELANGOR

Penduduk mohon jejantas di persimpangan Persiaran Harmoni

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 11 MEI: Kerajaan Negeri dimohon supaya membina jejantas di persimpangan Jalan Persiaran Harmoni berhampiran Stesyen Minyak Petronas, di sini bagi memastikan keselamatan pelajar sekolah yang menggunakan laluan itu terpelihara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han, berkata pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa di Kampung Tengah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah USJ 23 berkenaan isu terbabit.

Katanya, ketika ini simpang itu menjadi laluan utama kenderaan dari Putra Heights di samping pelajar menggunakan laluan sama untuk ke sekolah.

CP2A5085“Setiap pagi kita dapat lihat banyak basikal dan motosikal menggunakan simpang ini.

“Jadi saya cadangkan supaya dibina satu jejantas yang bukan sahaja untuk pejalan kaki tetapi boleh digunakan untuk kegunaan basikal dan motosikal supaya dapat melintasi simpang ini dengan lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau persimpangan itu, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, beliau sudah menulis surat kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Negeri pada pertengahan tahun lalu berkenaan permohonan pembinaan jejantas itu.

“Kawasan ini adalah bersempadan DUN Sri Muda dan DUN Kinrara. Saya pernah tulis surat kepada pihak berkenaan tetapi belum ada sebarang maklum balas.

“Selepas lawatan ini, YB Shuhaimi juga meminta saya buat satu lagi surat kepada beliau dan dia akan berhubung dengan pejabat Menteri Besar,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.