Categories
SELANGOR

Pertandingan Debat, Pidato Yayasan Selangor bina keyakinan diri

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KLANG, 30 APR: Selain melahirkan generasi mampu berfikir kritis dan terbuka, Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor Kali Kelapan turut meningkatkan keyakinan diri generasi muda yang bakal memimpin negara suatu hari nanti.

Peserta dari Sekolah Menengah Taman Ilmu Dan Budi (SETIABUDI), Gombak, Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal, berkata ini berikutan format pertandingan dilangsungkan bermula 30 April hingga 2 Mei itu menuntut peserta peka terhadap isu semasa sama ada dalam mahu pun luar negara.

“Kami diberi pilihan beberapa topik untuk pidato sama ada topik berkaitan isu dalam atau luar negeri. Antaranya berkenaan alam sekitar seperti pemanasan global, peperangan Syria, pendidikan, kenegaraan, ekonomi dan lain-lain.

Pidato“Saya dan guru perlu membuat kajian untuk mendapatkan fakta topik yang akan saya ketengahkan nanti,” kata Muhammad Aridz kepada SelangorKini.

Jelasnya, selain berpidato berdasarkan topik pilihan sendiri, pemidato juga akan diberikan satu topik oleh juri dan mereka perlu mengemukakan hujah mereka secara spontan.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Islam Al-Amin Gombak, Faridah Hanim Bohari yang sudah tiga kali menyertai pertandingan ini pula berkata, pertandingan seumpama ini menggalakkan remaja untuk berfikir.

“Pertandingan seperti ini bagus sebab kita tengok remaja sekarang malas untuk berfikir. Pertandingan ini mampu mengasah pemikiran remaja yang kebanyakkannya lebih menumpukan kepada media sosial dan sebagainya.

“Berpidato juga menjadikan seseorang berkeyakinan diri untuk bercakap di hadapan umum dan berkomunikasi. Kalau kita tengok, pemimpin yang bagus juga memerlukan skill ini.

“Bukan senang bercakap untuk bercakap di atas pentas bukan semua orang boleh lakukan. Sekurang-kurangnya dapat membantu saya berhadapan dunia luar lebih mencabar,” kata peserta kategori Bahasa Inggeris itu.

Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor Kali Kelapan menampilkan lebih 50 peserta dari 30 sekolah seluruh Malaysia.

Antara sekolah yang mengambil bahagian kali ini adalah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh Perak (STAR), Sekolah Dato’ Abdul Razak Seremban (SDAR), Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru (SMIH), Maahad Intergrasi Tahfiz Sabak Bernam, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Menengah Sains Shah Alam, Sekolah Menengah Agama Maahad Hamidiah, Kajang dan lain-lain.

Pembukaan pertandingan itu dirasmikan Setiausaha Kanan Exco Pendidikan, Abas Awang dan perasmian penutupan pula oleh Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Isnin nanti.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.