Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Guru Presiden KEADILAN

OLEH : DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Tidak ada balasan yang secukupnya untuk membayar budi mulia seorang guru yang banyak berbakti dan menjadi penjana pembangunan negara dari semenjak merdeka.

Peranan dan pengupayaan guru mesti diperkukuhkan bukan dibebankan dengan tugas-tugas sampingan agar jumlah masa mengajar serta mendidik mendahului segalanya.

Fokus peningkatan kualiti guru seperti yang termaktub di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 mesti dilaksanakan tanpa kompromi.

Hari guru1Demi masa depan anak-anak kita, usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran).

Laporan Bank Dunia 2013, “Malaysia Economic Monitor: High Performing Education” menyatakan walaupun Malaysia membelanjakan dua kali ganda untuk pendidikan berbanding negara-negara serantau namun pencapaian kita masih rendah dengan kemahiran kognitif yang tidak mampu melahirkan modal insan untuk membangun negara berpendapatan tinggi.

Laporan OECD 2015 Programme for International Student Assessment (PISA) meletakkan negara di tangga 52 dari 76 buah negara yang dinilai di mana pelajar kita ketinggalan dalam matapelajaran sains dan matematik berbanding pencapaian Singapura, Thailand dan Vietnam.

Oleh itu, satu Majlis Permuafakatan Pendidikan Nasional (National Consultative Education Council) yang melibatkan semua pihak berkepentingan dari kalangan ibu bapa, warga pendidik, kerajaan, pakar-pakar serta wakil rakyat dari semua pihak termasuk dari pembangkang mesti ditubuhkan dengan kadar segera.

Selain itu martabat profesion perguruan mesti dihargai melalui pemberian elaun khas bulanan sebanyak RM500 seperti yang pernah dicadangkan oleh pembangkang.

Dengan bilangan warga pendidik sekitar 537,000 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan elaun khas ini hanya menelan belanja RM3.2 bilion setahun.

Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran serta ketirisan lain yang kini berleluasa di bawah UMNO/Barisan Nasional seperti yang dimaklumkan sendiri oleh Ketua Audit Negara setiap tahun.

Anggaran RM20 hingga RM30 bilion boleh dijimatkan sekiranya kesemua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dihentikan.

Justeru, kami wakil rakyat dan seluruh warga Parti KEADILAN Rakyat akan bersatu dalam menghayati rangkap akhir Ikrar Guru, “ Kami sentiasa menjunjung Perlembagaan negara.

Kami mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun Negara pada setiap masa.” sebagai semboyan bersama membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Selamat Hari Guru!

* DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL adalah Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.