Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat bertafakur peringati mangsa nahas helikopter

KUALA LUMPUR 16 MEI: Dewan Rakyat hari ini bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian dua Ahli Parlimen yang terkorban dalam nahas helikopter AS350 di Batang Lupar, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, Dewan Rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad serta empat mangsa lain yang terkorban dalam nahas itu.

PARLIMEN MALAYSIAYang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika memulakan persidangan meminta anggota dewan beragama Islam membacakan Al-Fatihah buat mangsa manakala wakil rakyat bukan Islam bertafakur sebagai tanda memperingati mangsa nahas itu.

Beliau menyifatkan kematian kedua-dua anggota Parlimen itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Allahyarham Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, merupakan pemimpin yang berwibawa dan sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat sepanjang menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar sejak 2004, katanya.

Beliau berkata Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar pula telah banyak berjasa sepanjang menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Allahyarham Datuk Noriah dan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar sungguh besar dalam menaikkan imej negara di persada antarabangsa,” katanya lapor BERNAMA.

Pada 5 Mei lepas, helikopter yang membawa mereka bersama tiga lagi penumpang dan juruterbang dilaporkan hilang pada pukul 4.12 petang sejurus berlepas dari Betong ke Kuching.

Turut terkorban, suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadinya, Ahmad Sobri Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.