Categories
KENYATAAN MEDIA

Pesan buat rakyat Sarawak

OLEH : DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Kepada saudaraku di Sarawak,

Pagi ini  saya telah dihalang daripada menjejakkan kaki ke negeri yang indah ini untuk bersama-sama saudara-saudari hari ini. Ketua Menteri mendesak saya agar menulis surat rayuan. Namun, apakah perlu saya melutut di hadapan Adenan Satem kerana saya ingin bertemu saudara-saudari sekalian.

Saya terbang ke Sarawak untuk menyokong calon-calon KEADILAN menjelang detik-detik terakhir kempen pilihan raya ini, untuk memberikan sokongan dan menghirup keberanian dan kecekalan rakyat Sarawak.

PRN SARAWAKSaya mahu berdiri berganding bahu bersama pemimpin-pemimpin rakyat seperti Baru Bian, See Chee How, dan Ali Biju serta calon-calon lain yang bekerja untuk mewakili rakyat.

Saya cukup bersemangat sepanjang malam semalam sehingga kurang tidur dan begitu teruja untuk membantu kempen calon-calon kita yang pastinya menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada KEADILAN, diri saya sendiri dan seluruh rakyat Sarawak.

Mereka adalah wira rakyat. Mereka adalah pahlawan-pahlawan saya.

Saudara-saudari bertuah mempunyai calon-calon yang begitu bersemangat dan tekal kepada untung nasib negeri Kenyalang. Mereka berjuang berdekad-dekad lamanya Demi Sarawak yang lebih gemilang, melindungi hak-hak rakyat, hak turun-temurun ke atas tanah adat Sarawak.

Mereka bekerja siang dan malam tanpa mengira penat lelah dengan kelompok masyarakat yang berbeza. Inilah erti sebenar perjuangan demi hak-hak warga Sarawak. Sarawak merupakan pengasas bersama Persekutuan Malaysia.

Walaupun tiada sesiapa yang mempersoal asas-asas Perlembagaan Persekutuan, kita tidak pernah ragu-ragu terhadap isu autonomi Sarawak yang dekat di hati sanubari rakyat.

Kita yakin sepenuhnya bahawa rakyat Sarawak wajib menerima hak yang memang sepatutnya menjadi hak mereka.

Sudah sekian lama, Barisan Nasional cuai dalam melindungi hak-hak rakyat Sarawak. 25 orang Ahli Parlimen BN telah bersekongkol menyokong GST yang menghisap darah rakyat.

Berapa lama lagi rakyat Sarawak harus bersabar dinafikan berbilion ringgit royalti minyak yang menjadi hak mereka?

Ketua Menteri Sarawak diherdik secara terbuka di khalayak ramai kerana menuntut peningkatan royalti minyak yang menjadi hak rakyat Sarawak.

Adenan Satem boleh meletakkan segala macam halangan dan rintangan bagi menegah saya daripada memasuki Sarawak. Tetapi Adenan Satem tidak akan mampu menyekat angin perubahan dari bertiup kencang ke seluruh Bumi Kenyalang.

Semangat dan azam rakyat Sarawak akan menjadi badai yang akan mencabut Barisan Nasional daripada kuasanya di Sarawak.

Kepada saudara-saudaraku warga Sarawak, masanya sudah tiba.

Masa depan Sarawak dalam genggaman kalian. Esok adalah hari penentu. Ayuh majulah membawa perubahan! Insya-Allah kemenangan akan kita capai.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Leave a Reply

Your email address will not be published.