Categories
SELANGOR

PKNS perlu lebih berdaya saing dalam hartanah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perlu merangka strategi jangka panjang bagi memastikan perbadanan itu sentiasa berdaya saing dan mampan dalam pasaran hartanah walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Pengurus Besarnya, Azlan Md Alifiah, berkata PKNS perlu keluar dari zon selesa memandangkan bidang hartanah kini berdepan saingan sengit.

tuan Haji PKNS a“Kita memuji usaha PKNS yang menjadi pemangkin kemajuan di Selangor dengan membangunkan rumah kediaman dan pusat perniagaan komersil yang bukan sahaja mampu dimiliki malah bermutu tinggi.

“Namun, persaingan dalam kalangan pemaju hartanah kini lebih sengit apatah lagi pembeli lebih berpengetahuan dalam bidang hartanah dan sangat cerewet dalam membuat pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKNS di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, 183 warga kerja PKNS diraikan sebagai penghargaan kepada kakitangan yang cemerlang serta menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh perkhidmatan.

Daripada jumlah itu, 79 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 104 diberikan Anugerah Perkhidmatan Lama dan pesara.

Pada masa sama, Azlan turut mengharapkan warga kerja PKNS yang menerima APC akan terus konsisten dan amanah menjalankan tugas selain berkongsi tip atau ilmu kepakaran serta pengalaman dengan kakitangan lain.

“Kepada anggota yang lama berkhidmat, saya harap penghargaan ini akan dapat memberi motivasi lebih tinggi untuk semua berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.