Categories
SELANGOR

Projek HORAS 600 bantu tingkat bekalan air mentah

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 MEI: Projek HORAS 600 memastikan Selangor masih mampu membekalkan air mentah kepada pengguna walaupun beberapa negeri lain terpaksa mencatu ekoran fenomena El-Nino.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata projek itu mencapai objektif pembinaannya bagi membekalkan air tambahan dan meningkatkan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP3 dan Rasa.

catu airKatanya, HORAS 600 hasil cetusan sepenuhnya Kerajaan Negeri juga adalah projek sulung berskala besar pertama di Malaysia.

“Projek perintis penakungan air mentah dari sumber air sungai ini menjadi contoh kepada negeri lain yang terpaksa mencatu air pada masa ini.

“Tohmahan mengatakan projek HORAS 600 senyap tanpa khabar berita dan tidak berfungsi adalah tidak benar dan fitnah semata,” katanya dalam kenyataan.

Fasa pertama HORAS 600 siap sepenuhnya pada Oktober 2015 dan berjaya mengekalkan tahap takungan di Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi.

Ia juga berjaya menampung keperluan air mentah untuk projek mitigasi 2 yang menyalurkan air terawat sebanyak 227 juta liter sehari (JLH)dari LRA SSP1, SSP3 dan Rasa ke daerah Klang, Petaling dan Shah Alam.

Fasa kedua pula sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada akhir Jun 2016 serta disusuli dengan pakej pembinaan rumah pam yang dijangka siap pada Julai 2017.

Sementara itu, fasa terakhir melibatkan pengukuhan tebing juga sedang berjalan dan dijangka siap pada Disember 2017.

Zaidy berkata, paras empangan pada ketika ini berada di tahap baik melebihi 60 peratus, hasil Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) khususnya dari kolam HORAS 600 dan kolam takungan sekitarnya.

“Di lembangan Sungai Selangor, HORAS 600 dan kolam takungan sekitar berjaya menghasilkan secara purata 800 sehingga 1000 JLH.

“Keupayaan kuantiti kolam ini dapat meminimumkan pelepasan air dari kedua-dua empangan iaitu di Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.