Categories
SELANGOR

Final Piala FA: Tiket kanak-kanak kembali diwujudkan

SHAH ALAM, 9 MEI : Setelah menerima desakan pelbagai pihak, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akhirnya bersetuju memperkenalkan tiket khas kanak-kanak 2,000 keping bagi menyaksikan aksi final Piala FA di Stadium Shah Alam, 14 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, berkata perkara itu dipersetujui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat Jawatankuasa Exco.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan wakil Liga Perdana, PKNS FC pada aksi final nanti.

Piala FA“Tiket berkenaan berharga RM5 sekeping dan diagihkan berdasarkan pengagihan tiket dewasa sebelum ini, yang JDT mendapat lebih banyak tiket berbanding PKNS FC namun keputusan akhir akan dimaklumkan kepada kedua-dua pasukan secepat mungkin,” katanya dipetik BERNAMA.

Kevin memaklumkan persetujuan untuk menjual tiket berkenaan diputuskan setelah mendapat nasihat anggota exco FAM selain meneliti maklum balas daripada orang ramai.

Beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa sebelum ini mempersoalkan ketiadaan tiket khas untuk kanak-kanak dan pelajar bagi menyaksikan aksi final berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan ibu bapa yang membeli tiket untuk menyaksikan aksi final itu supaya mendaftarkan anak mereka berusia enam sehingga 12 tahun untuk menyertai Program Khas Final Piala FA, bermula hari ini di laman sesawang FMLLP;www.footballmalaysia.com.

“Hanya ibu bapa yang membeli tiket final sahaja dibenarkan mendaftarkan anak mereka untuk menyertai Program Khas ini,” katanya.

Menerusi program berkenaan, yang turut mendapat kerjasama daripada penaja utama Piala FA iaitu Superbest Power, seramai 1,000 kanak-kanak terpilih berpeluang melihat sendiri di sebalik tabir perjalanan aksi final berkenaan di samping berjumpa pemain kedua-dua pasukan.

JDT mara ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Kedah manakala PKNS FC turut mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Perak dalam satu lagi aksi separuh akhir, 30 April lepas.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.