Categories
SELANGOR

Raja Muda cemar duli lawat Laman Seni 7, titah perkasa agenda seni

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MEI: Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli meninjau Laman Seni 7, di sini, pada 24 Mei lalu.

Pegawai Kebudayaan dan Pelancongan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Zulfahmee Ismail, berkata Raja Muda bertitah agar acara seni dan budaya di kawasan itu dipergiatkan.

image (1)“Dalam lawatan baginda juga, Raja Muda Selangor mencadangkan agar acara seni dan budaya di Laman Seni 7 dirancakkan. Penyediaan ruang niaga secara efisien untuk jualan barangan seni perlu diwujudkan bagi menghidupkan suasana di Laman Seni 7.

“Raja Muda berpandangan Laman Seni juga perlu disebar luas kepada belia, pelajar, penggiat seni dan pengkarya agar masyarakat boleh memanfaatkan penggunaannya secara maksimum,” katanya kepada SelangorKini.

Turut sama mengiringi baginda adalah Pegawai Belia dan Sukan MBSA, Jaid Idham dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), Izhar Moslim.

Pada masa sama, baginda turut memberi pandangan dan idea bernas bagi menyemarakkan agenda Laman Seni 7 sebagai kawasan riadah untuk tujuan aktiviti seni, berkespresi, berkarya dan bersosial.

image (3)“Lawatan ke Laman Seni 7 ini menunjukkan rasa keprihatinan Raja Muda dalam memperkasakan seni, budaya dan pembangunan belia di Selangor. Ini juga, sekali gus menjadi pemangkin dalam memanifestasikan Shah Alam sebagai Kota Seni,” kata Mohd Zulfahmee.

Laman Seni 7 adalah projek transformasi lorong belakang yang dibuat MBSA dengan paparan lukisan seni dan kreatif bagi mengalakkan perkembangan karya artistik kepada warga Shah Alam.

Kewujudan Laman Seni 7 dan 2 di Shah Alam memberi ruang kepada golongan pengkarya serta kreatif untuk turut sama berkongsi ruang melalui aktiviti kesenian bagi menarik belia menjalankan aktiviti berfaedah.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.