Categories
NASIONAL

Rundingan calon PRK masih berjalan

OLEH : HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 20 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) masih menjalankan proses rundingan bagi menentukan calon yang akan mewakili gabungan itu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar nanti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata rundingan terbabit berjalan lancar bersama semua parti dalam PAKATAN serta PAS termasuk pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Oleh kerana ada pandangan daripada akar umbi dan parti politik yang kita terima maka proses perbincangan masih berjalan.

“Saya telah bertemu dengan pimpinan PAS, AMANAH dan DAP, ia dilihat cukup positif cuma bila kita boleh muktamadkan persetujuan ini, saya harap dalam asa terdekat,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran program bantuan makanan asas “#SmartSelangor Food Stamp” 2016 di Dewan Seri Bernam, di sini.

Beliau berkata, keputusan tidak akan dibuat secara terburu-buru kerana tempohnya masih panjang iaitu sehingga 5 Jun ini.

“Kita bekerja untuk kepentingan rakyat dan ia adalah mandat diberikan dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) lalu.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mandat itu diterjemahkan dalam bentuk program pembangunan dan ianya dapat dijalankan kalau ada ‘political stability’ yang dikecapi selama dua tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pertemuan sering diadakan dengan semua parti termasuk PAS dan setakat ini perbincangan semuanya berjalan lancar.

“Saya berjumpa semua orang dan bersedia bertemu (Datuk Seri Abdul Hadi Awang),” katanya menyentuh cadangan PAS untuk meletakkan calon dalam PRK kawasan Parlimen berkenaan.

Penamaan calon bagi PRK Sungai Besar bakal diadakan pada 5 Jun dan pembuangan undi pada 18 Jun apabila ia diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter bersama lima yang lain di Sebuyau, Kuching, Sarawak, 5 Mei lalu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.