Categories
SELANGOR

Skim perjawatan warga pendidik diberi perhatian

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan Negeri komited  memastikan perjawatan penjawat awam negeri khususnya warga pendidik berjawatan tetap dan kontrak disemak supaya sejajar dengan skim guru Kementerian Pelajaran Malaysia di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata elaun Guru Fardhu Ain juga ditingkatkan dari semasa ke semasa.

PC (5 of 13)“Kerajaan Negeri sangat memahami bebanan warga pentadbiran dan pendidik memandangkan kekurangan jumlah kakitangan.

“Kerajaan Negeri berhasrat meluaskan perkhidmatan berkenaan di semua sekolah agama negeri. Awal tahun ini, gaji seramai 6,900 guru KAFA dinaikkan antara RM50 hingga RM200 seorang mengikut tahun perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan disampaikan Senator, Dr Muhammad Nur Manuty, di Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Kualiti Pendidikan 2016, di Dewan Jubli Perak.

Mohamed Azmin berharap insentif diberikan itu menjadi motivasi  warga pendidik untuk terus berusaha membangunkan pelajar menjadi generasi cemerlang.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri juga mahu usaha memperkasakan institusi pendidikan Islam segera dilaksanakan.

“Institusi pendidikan Islam tidak boleh ketinggalan dengan kecanggihan dunia siber dan teknologi maklumat.

“Pada masa kini, pelajar terdedah kepada lambakan maklumat yang mampu menyaingi sistem pendidikan dan pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri tuntas memberikan sokongan sepenuhnya khusus demi menjayakan visi dan misi pendidikan Islam.

“Kita percaya inilah benteng terpenting pembangunan jati diri masyarakat Islam berhadapan kecelaruan pemikiran dan ancaman seperti radikalisme dan militan agama seperti mana merebak di sebahagian negara majoriti Muslim ketika ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.