Categories
SELANGOR

Tangani gejala sosial dan jenayah bersama

OLEH : HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 24 MEI: Isu gejala sosial dan jenayah yang berlaku di negara ini perlu ditangani secara bersama dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk masyarakat demi merubah masa depan lebih sempurna.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata permasalahan dihadapi kini memerlukan penyelesaian dengan semua pihak berkaitan memainkan peranan bagi menanganinya.

unisel 1“Di sini kita perlu memahami meskipun pelbagai usaha dijalankan pelbagai pihak iaitu pihak berkuasa mahupun rakan NGO tetapi ia bagaikan tidak berkesudahan. Di manakah silap kita?

“Ternyata persoalan ini tidak seharusnya dijawab secara eksklusif tetapi perlu lebih inklusif yang mana negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk, berbilang kaum, bangsa dan agama.

“Ia adalah permasalahan kemanusiaan, oleh itu apa yang perlu diusahakan ialah untuk mendalami isu ini secara kolektif dan sebulat suara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Konvensyen Menangani Gejala Sosial dan Jenayah Merentasi Budaya peringkat Selangor di Universiti Selangor (Unisel), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Unisel, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau berkata, tajuk dibincangkan dalam konvensyen itu mampu memberi sumbangan bermakna kepada usaha menghadapi wacana baru dalam pembangunan modal insan diangkat daripada persoalan nilai dan budaya.

Ia menjadi lebih menarik, katanya, dengan penyertaan pelbagai pihak tidak setakat mereka dalam bidang pengetahuan dan kemahiran tetapi merentasi sempadan agama dan pelbagai aktiviti dalam masyarakat.

“Jika diperhatikan isu ini berkait rapat dengan sesuatu kaum meyentuh soal budaya dan status ekonomi masyarakat.

“Budaya jika tidak dipupuk dari sudut moral, kesannya juga menjuruskan masyarakat kepada pengabaian nilai ehsan mulia manakala ekonomi pula adalah faktor mampu mempengaruhi gaya hidup setiap individu dalam masyarakat,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.