OLEH : NAEEM RAFFI
KUCHING, 7 MEI : Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian berjaya mengekalkan kerusi disandangnya N81 Ba’Kelalan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini dengan majoriti 538 undi.
Biarpun dihimpit janji luar biasa dan hujan ringgit yang mencurah-curah daripada Barisan Nasional, Baru merakamkan terima kasih kepada pengundi di DUN itu yang bertekad memilih KEADILAN.
“Terima kasih kepada penduduk Ba ‘Kelalan untuk ketabahan yang mengagumkan dalam menghadapi tekanan dari BN.
“Mereka telah memelihara maruah dan integriti mereka dengan menolak politik wang dan ugutan BN,” katanya dalam kenyataan yang dibacakan Pengarah Balik Gerakan Utama (BGU), Lynette Tan dalam sidang media, di sini.
Sebelum ini, Baru Bian mendakwa ejen BN memasuki pedalaman kampung di DUN itu mengugut menarik biasiswa anakpengundi sekirannya tidak menyokong mereka.
Selain itu, Baru Bian juga dihimpit ‘taktik kotor’ BN apabila Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan Kerajaan Persekutuan peruntukan RM5.5 juta bagi membantu 110 buah gereja luar bandar di dun yang dimenanginya pada PRN ke-10 itu.