Categories
NASIONAL

‘Tsunami Ringgit’, badai bumi kenyalang – Athina

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 24 MEI : Bumi Kenyalang dilanda ‘Tsunami Ringgit’ ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak berlangsung awal bulan lalu.

Calon KEADILAN N18 Serembu, Athina Klaywa Sim tidak terkejut dengan situasi tersebut sejak Barisan Nasional mentadbir Sarawak lebih 50 tahun lalu.

“Sepanjang 27 tahun saya menetap di Serembu, saya kurang pasti entah berapa kali atau tidak pernah langsung barangkali Ketua Menteri turun meninjau penduduk di Serembu.

PILIHANRAYA SARAWAK“Tetapi ketika kempen pilihan raya berlangsung, Tan Sri Adenan Satem mengambil peluang meninjau keadaan penduduk di sini.

“Pada masa sama, mereka (BN) menabur pelbagai janji-janji jutaan Ringgit kononnya untuk bangunkan negeri kami. Mudahnya saya jelaskan berlaku ‘Tsunami Ringgit’ waktu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum “Sarawak election – Lessons learnt and the way forward” di KL Selangor Chinese Assembly Hall, di sini malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian, Aktivis Politik; Leon Lee dan Dekan Pusat Pengajian Asasi Umum (UNISEL); Dr Hamdan Salleh.

Athina berkata, pentadbiran BN Sarawak gagal memacu kepada kemajuan negeri walaupun Malaysia kini menuju ke arah Wawasan 2020.

“Apa jaminan masa depan rakyat Sarawak? Berbaki kurang empat tahun sebelum Wawasan 2020 direalisasi, adakah ia sudah mampu untuk dicapai?

“Lebih 50 tahun berlalu, mana kemudahan elektrik dan air di kawasan luar bandar Sarawak?” soalnya.

Athina antara calon muda yang diketengahkan KEADILAN pada PRN lalu menerusi kerusi baru hasil proses persempadanan semula, N18 Serembu.

Peguam muda itu memperoleh jumlah undian sebanyak 1,218 tewas kepada calon BN, Miro Ak Simuh dengan 3,452 undi.

Walaupun tewas, Athina tetap optimis mampu menjuarai isu rakyat di Sarawak khususnya di kawasan Serembu demi masa depan Sarawak lebih baik.

“Saya tetap yakin menjadi wanita Bidayuh pertama yang mampu membawa perubahan kepada kemajuan ekonomi rakyat Sarawak,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.