Categories
NASIONAL

Politik wang, taruhan kemenangan BN Sarawak

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 24 MEI : Amalan politik wang oleh pentadbiran Barisan Nasional Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) awal bulan lalu didakwa mendorong kepada faktor kemenangan besar parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’ Kalalan, Baru Bian, berkata kepimpinan BN Sarawak seolah-olah menjadikan wang sebagai ‘akses’ membeli undi masyarakat di Sarawak.

PRN SARAWAK“Dua hari sebelum pengundian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman untuk meluluskan beberapa projek pembangunan dan pembinaan jalan dan sekolah di kawasan pendalaman.

“Tanpa segan silunya, ini menjelaskan bagaimana politik wang itu berlaku. Lebih mengecewakan juga apabila wujudnya kegiatan penyerahan wang tunai kepada pengundi sebelum dan selepas waktu mengundi.

“Penduduk menerima sejumlah wang (suapan) pada kadar RM50 sehingga RM1,000 sementara ketua-ketua kampung pula menerima wang berjumlah RM1,000 dan mencecah ribuan ringgit lagi,” kata Adun KEADILAN itu.

Beliau berkata demikian pada forum “Sarawak election – Lessons learnt and the way forward” di KL Selangor Chinese Assembly Hall, di sini malam tadi.

BN sebelum ini berjaya mengekalkan pemerintahan di Sarawak selepas menang besar pada PRN ke 11 dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara KEADILAN berjaya mengekalkan tiga kerusi iaitu di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan untuk penggal kedua berturut-turut. Manakala DAP memenangi tujuh kerusi berbanding tahun sebelumnya, 12.

Baru turut mengakui Sarawak dianggap sebagai negeri ‘fix deposit’ kepada BN menjelang pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun katanya, tanggapan itu perlu diubah dengan melalukan gerak kerja secara konsisten di peringkat akar umbi untuk menarik lebih ramai pengundi memilih komponen parti pembangkang.

“Dengan mengambilkira keputusan PRN lalu, kita perlu menggerakkan seluruh tenaga kerja dan jentera parti untuk duduk dan berbincang bersama.

“Kita perlu meneliti sebarang pendekatan terbaik untuk mendapatkan sokongan lebih besar lagi daripada rakyat Sarawak selepas ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.