Categories
SELANGOR

Pusat proses padi manfaat penduduk Sungai Besar

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 15 MEI : Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menyediakan sebuah pusat memproses padi di daerah Sabak Bernam sebagai galakan dan sokongan kepada penghasilan beras seluruh negeri.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata cadangan pembinaan pusat tersebut sedang diteliti meliputi pelbagai aspek demi manfaat jangka panjang kepada golongan petani.

Padi“Jika perancangan Kerajaan Negeri menjadi kenyataan, berkemungkinan kita akan mewujudkan sebuah pusat memproses padi khusus untuk hasil program natural farming.

“Namun begitu, ia masih lagi diperingkat perancangan dan kita sama-sama berdoa agar perancagan tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peningkatan Hasil Padi bagi daerah Sabak Bernam (DUN Sungai Panjang) di Dewan Binjai Jaya, Sungai Panjang di sini, pagi tadi.

Dua daerah di Selangor yang menjadi kawasan pengeluaran padi terbesar di negeri ini adalah di Sabak Bernam khususnya di Sungai Panjang dan daerah Kuala Selangor.

Sementara itu, Zaidy berkata keseluruhan kawasan padi bertanam di Selangor berjumlah 19,856 hektar dengan jumlah petani seramai 9057.

Katanya daerah Sabak Bernam sahaja mempunyai keluasan kawasan tanaman padi sekuas 14,099 hektar manakala Kuala Selangor mempunyai keluasan kawasan tanaman padi seluas 5,757 hektar.

“Jika dibandingkan dengan keluasan kawasan tanaman padi negeri lain, Sleangor bukanlah sebuah negeri pengeluar padi terbesar atau mempunyai keluasan tanaman luas.

“Namun, Selangor merupakan sebuah negeri yang mempunyai pengeluaran hasil padi tertinggi di Malaysia sebanyak 6.15 tan metrik semusim,” katanya.

Perolehan itu diharap mampu melonjakkan lagi kedudukan ekonomi Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.