Categories
SELANGOR

Belia Selangor di Sarawak didedah kemajuan ekonomi negeri

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JUN : Belia Selangor di Sarawak menerima pendedahan ekslusif terhadap perkembangan kemajuan Selangor oleh Exco Belia Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, pada 24 Mei lalu.

Bertempat di Hotel Grand Margherita Kuching Sarawak, program berkenaan merupakan gerak kerja Exco Belia ke seluruh negara dalam memastikan warga belia Selangor di luar negeri diberi pendedahan berhubung aspek kemajuan negeri.

BeliaProgram anjuran Bahagian Pembangunan Belia Majlis Sukan Negeri itu dihadiri lebih 65 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengarah Esekutif MSN, Zubir Idrus dan Timbalan Pengarah MSN, Mohd Najwan Halmi.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri giat merancakkan pembangunan ekonomi negeri sejak 2008 sebagai jaminan melahirkan negeri berkebajikan dan peduli rakyat.

Beliau berkata, pendirian tersebut diambil selaras dengan dasar dan gagasan Kerajaan Negeri iaitu, ‘Membangun Smart Selangor yang Peduli’ sebagaimana dibentangkan Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga konsisten merealisasikan lima teras utama strategi Belanjawan 2016 lalu dengan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan gagasan Smart Selangor ke arah menjana pendapatan strategik.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menjaga harta dan hasil mahsul negeri, Hifz Al-Mal, serta membangunkannya berpasikan falsafah keadilan pengagihan seperti dituntut Maqasid Syariah.

“Justeru saya ingin menegaskan bahawa seluruh dasar Kerajaan Negeri dan Belanjawan 2016 adalah berpaksikan prinsip Ekonomi Maqasid,” katanya.

Beliau berkata, hasil ketelusan prinsip tersebut juga membuahkan perolehan tinggi kepada rizab negeri untuk 2016.

“Setakat ini, simpanan Kerajaan Negeri melonjak dari RM3.6 bilion kepada RM4.034 bilion, yang merupakan nilai tertinggi dalam sejarah pernah dicapai bagi simpanan rizab negeri,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.