Categories
SELANGOR

Belum ada keperluan sedia doktor pakar di HTAJ

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 2 JUN: Kerajaan Negeri tidak bercadang menyediakan khidmat doktor pakar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Beliau berkata, bidang kuasa Kerajaan Negeri menetapkan cadangan itu termaktub di bawah kuasa Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Pusat untuk sebarang keputusan.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri terus konsisten memastikan perkhidmatan hospital di seluruh negeri terus berada di tahap terbaik demi kesejahteraan masyarakat.

YB Daroyah“Untuk hospital, Kerajaan Negeri tiada kuasa itu. Kita memang boleh minta kepada Kementerian Kesihatan untuk menaik taraf perkhidmatan rawatan hospital dengan meletakkan pakar bersesuaian.

“Namun, merujuk kepada persekitaran di hospital ini, HTAJ hanya mempunyai 94 katil sahaja, jadi mungkin keperluan itu masih belum di peringkat pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata, jika ada pesakit yang memerlukan rawatan doktor pakar, pihak HTAJ akan mengemukan laporan untuk menghantar mereka ke hospital dengan kemudahan pakar seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Masyarakat tidak perlu bimbang kerana pemantauan secara khusus tetap diberikan sebagai usaha pihak hospital memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Terdahulu, Daroyah mengadakan pertemuan bersama pengurusan HTAJ sebagai rangka kerja di bawah Program Ziarah Medik di hospital berkenaan.

Hadir sama, Pengarah HTAJ, Dr Jameela Banu dan Timbalan Pengarah HTAJ, Dr Suriani Bakin.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.