Categories
GLOBAL

Euro 2016: Antoine Griezmann wira kebangkitan Les Bleus

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 27 JUN: Antoine Griezmann menjadi wira kebangkitan Perancis selepas ketinggalan pada awal perlawanan sebelum menewaskan Republik Ireland 2-1.

Penyerang Atletico Madrid itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit bagi memastikan Les Bleus menempah tiket ke suku akhir.

Perancis tersentak seawal minit pertama apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Republik Ireland selepas Paul Pogba menjatuhkan Shane Long.

Robert Brady tenang menyempurnakan sepakan seminit kemudian menewaskan Hugo Lloris bagi memastikan Republik Ireland di depan hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bangkit melancarkan serangan dan akhirnya Griezmann muncul menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang selepas menerima hantaran Bacary Sagna sekaligus menewaskan penjaga gol, Darren Randolph pada minit ke-58.

Selang tiga minit kemudian Griezmann sekali lagi meranapkan impian Republik Ireland dengan gol kedua selepas menyempurnakan umpanan Olivier Giroud bagi gol ketiga peribadi sepanjang edisi Euro 2016.

Malang menimpa Republik Ireland apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 23 minit terakhir perlawanan selepas Shane Duffy dilayangkan kad merah kerana mengasai Griezmann di luar kotak penalti.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Perancis akan bertemu pemenang antara England dan Iceland di peringkat suku akhir.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.