Categories
GLOBAL

Euro 2016: Italy lunas dendam singkir Sepanyol

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 28 JUN: Dua jaringan di setiap babak sudah cukup membolehkan Itali melunaskan dedam menyingkirkan juara bertahan, Sepanyol pada peringkat kalah mati awal pagi tadi.

Giorgio Chiellini merobek gawang La Roja pada minit ke-33 selepas memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang untuk menolak masuk gol pertama Itali hasil kesilapan penjaga gol, David De Gea.

Itu adalah jaringan pertama dilepaskan Sepanyol dalam tempoh 10 tahun di peringkat kalah mati sejak kali terakhir ketika menetang Perancis pada 2006.

Sepanyol cuba bangkit mengasak mencari gol penyamaan tetapi ketangkasan penjaga gol berpengalaman, Gianlugi Buffon membatasi segalanya.

Jurulatih La Roja, Vicente del Bosque membawa masuk penyerang veteran, Aritz Aduriz pada babak kedua namun ia gagal mengubah corak permainan Sepanyol.

Gerard Pique dan Andres Iniesta juga gagal memecah kubu pertahanan meskipun melakukan cubaan tepat ke gawang Itali.

Sebaliknya, corak permainan bertenaga yang diterapkan jurulatih Antonio Conte menyaksikan Graziano Pelle menghukum kealpaan pertahanan Sepanyol apabila menjaringkan gol kedua Azzuri pada minit akhir permainan hasil rembatan kencang selepas memanfaatkan umpanan Matteo Darmian.

Kekalahan ini meleburkan impian Sepanyol menjadi negara pertama menjulang kejuaraan eropah buat kali ketiga berturut-turut selepas berjaya muncul juara pada edisi 2008 dan 2012.

Sementara kemenangan 2-0 itu sudah cukup membawa Itali ke peringkat suku akhir dan bakal bertemu Juara Piala Dunia 2014, Jerman.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.