Categories
GLOBAL

Euro 2016: Jaringan sendiri McAuley bantu kemaraan Wales

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 26 JUN: Jaringan sendiri pemain Ireland Utara, Gareth McAuley sudah cukup untuk melayakkan Wales mara ke peringkat suku akhir dengan kemenangan tipis 1-0.

Meskipun Ireland Utara memaperkan corak bertahan penuh disiplin sepanjang 70 minit permainan, namun jaringan sendiri pada 15 minit sebelum perlawanan tamat mematikan langkah mereka dalam saingan Euro 2016.

Wales yang menguasai 56 peratus perlawanan sepatutnya mendahului permainan menerusi Aaron Ramsey namun jaringan beliau dibatalkan pengadil kerana off-side pada minit ke-19.

Tidak banyak percubaan dilakukan kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit permainan namun pemain termahal dunia, Gareth Bale nyaris menambah koleksi jaringan beliau menerusi sepakan percuma pada minit ke-58.

Segalanya berpunca daripada kekasaran dilakukan Oliver Norwood, Bale yang mengambil sepakan itu pada jarak 25 meter gagal meletakkan bola ke jaring apabila percubaannya ditepis keluar Michael McGrovern.

Sejurus kemudian usaha Wales mencari gol dan akhirnya berhasil apabila hantaran Bale ke dalam kotak penalti ditampan sendiri McAuley ke gawang Ireland Utara pada minit ke-75.

Ireland Utara cuba mencari gol penyamaan sehingga minit akhir permainan namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.