OLEH: NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 22 JUN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyokong penuh sebarang usaha dijalankan Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bagi mencari jalan menyatukan kembali blok pembangkang di negara ini.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, kesatuan ini sangat diperlukan parti pembangkang bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) sebelum gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di buka nanti.
“Kita menyokong syor Menteri Besar bahawa kita harus menilai keadaan sekarang ini untuk mencapai strategi baru yang boleh menyatupadukan parti pembangkang.
“Saya rasa adalah perlu untuk kita menyokong usaha Menteri Besar untuk terus berunding menjayakan strategi parti-parti pembangkang ini,” katanya kepada SelangorKini.
Jelasnya, keputusan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak mustahil berulang pada PRU-14 sekiranya pembangkang masih gagal bersatu.
Pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini, pertembungan sesama sendiri antara parti pembangkang menyebabkan BN memperolehi kemenangan besar selepas undi kepada pembangkang terpecah dua.
-nR-