Categories
NASIONAL

Euro 2016: Itali- Sepanyol tumpuan kelompok 16 terakhir

OLEH AFIX REDZUAN

PARIS, 23 JUN: Selepas berakhirnya perlawanan peringkat kumpulan awal pagi ini, pertembungan dua finalis Piala Eropah 2012, Itali dan Sepanyol bakal menjadi tumpuan pada peringkat 16 pasukan terakhir edisi Euro 2016.

Sepanyol turun selaku juara bertahan dalam edisi 2008 dan 2012 sudah pasti mahu merealisasikan impian menjadi pasukan pertama menjulang Piala Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

EURO 2016Italy sudah pasti mahu menjadikan pertemuan ‘buku dengan ruas’ ini untuk menebus kekecewaan selepas berhadapan kekalahan memalukan 4-0 dalam perlawanan akhir Euro 2012 di Kiev, Ukraine empat tahun lalu.

Di atas kertas, peluang kedua-dua pasukan dilihat seimbang memandangkan mereka tewas pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan namun ketajaman jentera serangan dijangka menjadi pemisah antara mereka.

Tumpuan juga perlu diberikan kepada Perancis yang mahu menghadiahkan kejuaraan kepada peminat tempatan selepas kali terakhir menjulang kejuaraan pada edisi Euro 2000.

Jerman yang kembali turun ke pentas saingan eropah dengan status Juara Piala Dunia 2014 sudah pasti mahu kembali menjulang Piala Eropah selepas kali terakhir berbuat demikian pada tahun 1996 apabila menewaskan Republik Czech 2-1.

Sementara pasukan kelompok pertengahan seperti Poland, England, Portugal, Croatia dan Belgium juga dilihat mampu melangkah jauh sekiranya berjaya mengadunkan tektikal terbaik meskipun dilihat bergelut pada peringkat kumpulan.

Kelibat pasukan bukan pilihan seperti Switzerland, Wales, Ireland, Ireland Utara, Hungary serta Iceland tidak boleh diperkecilkan kerana mereka sudah membuktikan kemampuan untuk bersaing dengan kelompok elit setakat ini.

Namun, segalanya hanya akan terjawab apabila peringkat kalah mati bermula 25 Jun ini bagi mencari pasukan terbaik merebut tempat ke pusingan suku akhir.

Senarai perlawanan ‘Last 16’:

Switzerland vs Poland
Wales vs Ireland Utara

Croatia vs Portugal
Perancis vs Ireland

Jerman vs Slovakia
Hungary vs Belgium

Italy vs Spain
England vs Iceland

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.