Categories
SELANGOR

KUIS perhebat usaha jadi universiti wakaf

OLEH : NORHAYATI UMOR

BANGI, 21 JUN: Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS) kini dalam usaha menjadikan institusi itu sebagai universiti wakaf yang menggalakkan masyarakat supaya beramal sambil melabur di saham akhirat melalui pendidikan.

Rektor KUIS, Prof. Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata 10 projek wakaf juga sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan bagi tempoh beberapa tahun.

Katanya, ia membabitkan bangunan akademik, perpustakaan, pusat pelajar, pusat sukan dan asrama pelajar.

KUIS“Wakaf boleh dilakukan dalam bentuk persendirian ataupun melalui syarikat dan agensi. Kita mengambil pendekatan idealisme seperti Universiti Al Azhar.

“Kita mahu kembangkan kepada seluruh Malaysia kerana pelajar KUIS dari semua negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Dana Wakaf KUIS di Pusat Konvensyen KUIS, di sini.

Melalui kempen itu, Ab Halim berkata kempen terbabit merupakan permulaan memberi kesedaran memulakan projek untuk memulakan KUIS sebagai institusi wakaf.

“Perkara ini bukan mudah mengambil masa yang panjang, di Malaysia wakaf agak baru berbanding dengan masjid, surau dan sebagainya.

“Bagaimanapun kita melihat kesan positif penyertaan penduduk sekitar Bangi dan beberapa penglibatan lain yang banyak menyumbang antaranya infaq makanan, wakaf kepakaran, buku dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak RM301,000 berjaya dikumpul hasil wakaf masyarakat.

“Saya sasarkan projek wakaf ini berjaya dicapai selepas 10 tahun kerana untuk memberi kesedaran bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Katanya, KUIS juga menawarkan hadiah pakej umrah kepada lima kategori terdiri dari siswa, siswi, kakitangan lelaki dan wanita serta orang awam yang berjaya mengumpulkan dana wakaf tertinggi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.