SHAH ALAM 6 JUN: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengucapkan Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam yang menjalani ibadah itu bermula hari ini.
“Ramadan Kareem untuk seluruh umat Islam. Semoga bulan penyucian jiwa ini dapat menggilap idealisma perjuangan yang hakiki,” tulis Mohamed Azmin di Twitter.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan sempena Ramadan berkata masyarakat digalakkan untuk melipat gandakan zakat, sedekah dan amal jariah.
“Jangan kita lupakan golongan fakir miskin, terutamanya rakyat Malaysia yang sedang dihimpit dengan kemelut ekonomi, GST, kenaikan harga barangan keperluan seharian.
“Jangan sesekali kita lupa untuk membantu dan mendoakan sahabat kita di Palestin, Syria, Yaman, Myanmar dan dipebagai negara yang sedang bertarung dengan kehidupan akibat peperangan, pembunuhan dan kemusnahan,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.
Wan Azizah menyeru kepada seluruh umat Islam supaya melakukan islah diri, mempertingkatkan iltizam dan memperkukuhkan khittah perjuangan, bagi mencapai keadilan mutlak untuk rakyat.
“Kita juga mesti meningkatkan segala usaha kita dalam semua bidang fardu ‘ain dan fardu kifayah termasuk tuntutan perjuangan as’siasah untuk membangunkan negara mencapai tujuan Maqasid Syariah dengan penuh hikmah.
“Ia agar martabat Karamah Insaniah berdasarkan semangat Rahmatan liL ‘Aalamin dan prinsip keadilan serta kesaksamaan Al’ Adl wa al-Musaawa tercapai,” katanya.
EZY