Categories
AGENDA NASIONAL

Gastrik bukan alasan malas puasa, kata pakar kesihatan

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Masalah gastrik yang dialami oleh sesetengah orang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menunaikan ibadah puasa yang merupakan rukan Islam ketiga.

Pakar pemakanan dari Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata mereka yang telah lama menghidap penyakit itu sepatutnya membuat persiapan tertentu bagi membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan lancar.

“Sebelum Ramadan, biasakan diri dengan berpuasa, mungkin hari ini separuh hari, esok lusa boleh dilanjutkan lagi mengikut ketahanan perut. Secara tidak langsung, individu itu boleh menyesuaikan diri dengan keadaan enzim perut supaya perut tidak ‘terkejut’ apabila perlu berpuasa.

“Sebab itu, amalan berpuasa perlu dididik sejak kecil untuk dibiasakan dengan fisiologi tubuh dengan keadaan tiada makanan dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa yang sama, katanya, mereka juga perlu memilih makanan yang bersesuaian selain perlu makan dalam jumlah sederhana, sama ada ketika bersahur atau berbuka.

“Ketika bersahur, elakkan daripada mengambil makanan pedas, berminyak dan berempah serta minuman yang mempunyai kafein tinggi seperti teh dan kopi.

“Sewaktu berbuka pula digalakkan untuk mengambil makanan ringan terlebih dahulu sebelum menikmati hidangan berat selain perlu minum air kosong yang banyak agar tubuh tidak mengalami dehidrasi,” katanya.

Menurutnya, gastrik berlaku disebabkan jus atau enzim gaster dalam perut dirembeskan untuk mencerna makanan pada waktu tertentu dan ketika berpuasa enzim itu tetap dikeluarkan walaupun dalam kadar yang sedikit menyebabkan perut menjadi pedih.

Bagi seorang pesakit gastrik Khairul Anwar Mat Hassan,35, mengakui penyakit itu hanya dialami ketika bulan Ramadan, namun itu tidak dijadikan sebagai halangan untuk terus berpuasa.

Menurut usahawan dari Pasir Puteh, Kelantan itu, beliau mula menghidap penyakit gastrik semasa menuntut di pusat pengajian tinggi sekitar 2007 akibat tekanan belajar sehingga terlalu kerap meninggalkan waktu makan.

“Untuk memastikan terus berpuasa, doktor menasihatkan saya untuk menukar pola pemakanan dan jenis makanan yang diambi selain turut dibekalkan dengan ubat antasid yang berfungsi untuk meneutralkan asid perut yang berlebihan,” katanya.

Bagaimanapun keadaannya agak berbeza untuk Norida Mohammad Nasir, 42, yang menghidap penyakit gastrik yang serius sehingga ada masanya terpaksa meninggalkan ibadah itu kerana tidak mampu menahan kesakitan.

“Saya kena gastrik berpunca daripada ubat migrain yang menyebabkan perut saya ada ulser dan pernah menjalani pemeriksaan endoskopi. Apabila gastrik mula menyerang, saya akan mengalami rasa pedih ulu hati, perut memulas, menggigil serta loya,” katanya.

Doktor juga menyarankannya agar tidak berpuasa kerana khuatir tindakan itu menyebabkan komplikasi gastrik yang semakin teruk, namun beliau tetap mencuba untuk ibadah itu jika berkemampuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan belasah pekerja kerana puasa didakwa esok

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majikan yang juga suspek utama kes pukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa minggu lepas akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang dan Kuala Lumpur esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk membuat pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah salah seorang mangsa.

Beliau berkata majikan itu juga akan dituduh bawah Seksyen 109/324 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengarahkan pembantunya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan dan di bawah Seksyen 323 Kanun yang sama kerana menampar serta menyerang perut salah seorang mangsa menggunakan lutut.

“Suspek utama itu juga akan tuduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan kedua-dua mangsa mengenai agama yang dianuti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ezanee berkata seorang pembantu majikan itu juga akan dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun yang sama kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan.

Ezanee berkata seorang lagi pekerja majikan itu dicadangkan supaya dibebaskan tanpa syarat memandangkan dia tiada sebarang kaitan dengan kejadian, manakala dua lagi yang juga pekerja majikan itu dilepaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belasah pekerja kerana puasa, polis tahan empat individu

SHAH ALAM, 15 APRIL: Polis Klang Selatan menahan empat individu, yang disyaki terlibat dengan kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang telah dipukul secara bergilir, kerana berpuasa.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 4.16 petang tadi di Balai Polis Klang, berkaitan kejadian dua lelaki tersebut yang dipukul secara bergilir di bahagian belakang badan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dipukul dengan menggunakan sebatang rotan oleh majikannya dan seorang lagi pekerja.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa,” katanya.

Shamsul Amar berkata, majikan lelaki tersebut juga telah mengambil sepucuk pistol yang berada di pinggang salah seorang daripada dua lelaki tersebut, dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Klang esok.

“Polis Daerah Klang Selatan ingin menegaskan bahawa kes ini tidak melibatkan sebarang isu perkauman,” katanya.

Beliau juga menasihatkan masyarakat atau mana-mana individu agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sehingga menjejaskan keharmonian kaum dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang- undang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwah perlu dilakukan secara hikmah, toleransi

SHAH ALAM, 13 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah berkompromi berhubung perkara berkait agama Islam.

Ketua pembangkang berkata pendirian sering mendengar pelbagai pendapat dan toleransi dengan agama lain menyebabkan beliau digelar seorang liberal.

“Tuduhan saya ini pluralisme dan liberalisme tidak betul. Saya menolak golongan yang tidak berpegang kepada akhlak, sahsiah dan agama.

“Cuma saya mengambil sikap berlembut dengan agama lain kerana saya tidak mahu Islam dilihat ekstrem dan ganas,” katanya pada forum ‘Membangun Khayra Ummah: Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat’ semalam.

Program anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Hal Ehwal Negeri Islam dan Institut Darul Ehsan (IDE) diadakan di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan serta disiarkan menerusi platform media sosial.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata dakwah perlu dilakukan secara lembut serta penuh hikmah.

“Saya suka mengambil contoh Muhammad Hamidullah menerusi tulisannya ‘Why Fast?: Spiritual and Temporal Study of Fast in Islam’ ketika membuka pusat Islam di kota Paris.

“Beliau tidak mahu penganut agama lain memandang serong terhadap Islam terutama berkaitan puasa.

“Justeru beliau mengambil pendekatan hikmah dengan menulis karya yang menyebut ibadah puasa diamalkan pelbagai agama sejak dahulu namun dalam kerangka berbeza mengikut fahaman masing-masing,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mufti: Tidak batal jika suntik vaksin ketika puasa

SHAH ALAM, 3 APRIL: Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan puasa umat Islam tidak terbatal sekiranya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Mufti Selangor berkata ketetapan dibuat berdasarkan hujah bahawa suntikan bukan di rongga terbuka dan diambil bagi memelihara nyawa serta mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

“Jika suntikan melalui saluran tidak terbuka seperti otot badan, peha atau lengan, dengan syarat ia tidak mengenyangkan maka puasa tidak batal. Dari aspek maqasid syariah, umat Islam disyariat menjaga nyawa jadi perlu mengambil suntikan ini.

“Langkah kerajaan mendapatkan vaksin ini merupakan usaha murni mengekang penularan pandemik. Justeru sebarang usaha kerajaan yang membawa kebaikan kepada rakyat perlu disokongan. Mentaati pemerintah merupakan perkara dituntut syarak,” kata Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menerusi kenyataan.

Beliau menasihati umat Islam yang mengambil suntikan supaya patuh tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan.

Pada 26 Mac lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat agar tidak ragu mengambil suntikan terbabit.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyokong gesaan dan nasihat supaya rakyat tidak gusar menerima suntikan tersebut ketika berpuasa di bulan Ramadan.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tarikh lihat anak bulan Ramadan pada 12 April

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada Isnin, 12 April ini bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara.

Tempat tersebut ialah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); manakala di Kedah di Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi serta Menara Alor Setar.

Bagi Terengganu pula ialah di Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu), manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu.

Tiga tempat di Sarawak ialah Esplanade Luak (Miri), Teluk Bandung (Kuching) dan Tanjung Batu (Bintulu); satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan; serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan.

Di Wilayah Persekutuan ialah tingkat 13 di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, manakala bagi Perlis pula ialah di Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Muslim di Greenland berpuasa 21 jam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 MEI: Umat Islam di kebanyakan negara di seluruh dunia mula berpuasa hari ini.

Namun, di sesetengah negara yang menggunakan pengiraan astronomi dalam menentukan permulaan Ramadan sudah mula berpuasa sejak semalam.

Tidak seperti di Malaysia. Tempoh berpuasa Muslim di beberapa negara dunia lain jauh lebih panjang sehingga ada negara berpuasa selama 21 jam.

Di negara ini, kita berpuasa hanya 13.5 jam, namun kaum Islam di Greenland yang terletak sudut paling utara dunia, Benua Amerika Utara antara Lautan Artik dan Lautan Atlantik hingga 21 jam.

Perbandingan jangka waktu berpuasa di seluruh dunia itu juga diikuti Norway (20 jam) dan Sweden (20); Rusia dan Belarus (19 jam); United Kingdom dan Kazakhstan (18.5 jam) serta Perancis, Kanada dan Turki (17 jam)

Manakala, negara paling pendek tempoh berpuasa adalah Wellington, New Zealand iaitu hanya 11 jam sahaja.

Waktu Imsak di negara itu pada jam 5.27 pagi dan berbuka puasa pula pada 5.30 petang.

Umat Islam yang menjalani ibadah puasa perlu mematuhi syarak puasa berdasarkan maksud ‘menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, berserta niat’.

Begitupun, perbezaan geografi dan jarak kedudukan dengan garis waktu membuatkan tempoh berpuasa itu berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain.

Categories
AGAMA NASIONAL

Puasa sunat sempena wukuf di Arafah 21 Ogos – JAKIM

KUALA LUMPUR 15 OGOS: Umat Islam yang ingin berpuasa sunat sempena hari wukuf di Arafah boleh melaksanakannya pada 9 Zulhijjah 1439 Hijrah bersamaan 21 Ogos ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau berkata walaupun Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan 1 Zulhijjah (Ahad) bersamaan 12 Ogos dan seterusnya menetapkan wuquf di Arafah pada 20 Ogos (Isnin) serta Aidiladha pada 21 Ogos 2018, matla’ (tempat terbit anak bulan) negara Malaysia adalah berbeza dengan Arab Saudi yang berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal (anak bulan) lebih tinggi di negara berkenaan.

“Perbezaan waktu antara kedua-dua negara sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia dan peluang kenampakan juga lebih mudah.

“Sebagai penduduk di Malaysia, kita hanya boleh menerima pakai keputusan cerapan hilal matla’ di negara kita,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di akaun Facebooknya, semalam.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos (Rabu) seperti yang diumumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB: Selamat berpuasa, gilap idealisme perjuangan hakiki

SHAH ALAM 6 JUN: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengucapkan Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam yang menjalani ibadah itu bermula hari ini.

Ramadan MB“Ramadan Kareem untuk seluruh umat Islam. Semoga bulan penyucian jiwa ini dapat menggilap idealisma perjuangan yang hakiki,” tulis Mohamed Azmin di Twitter.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan sempena Ramadan berkata masyarakat digalakkan untuk melipat gandakan zakat, sedekah dan amal jariah.

“Jangan kita lupakan golongan fakir miskin, terutamanya rakyat Malaysia yang sedang dihimpit dengan kemelut ekonomi, GST, kenaikan harga barangan keperluan seharian.

“Jangan sesekali kita lupa untuk membantu dan mendoakan sahabat kita di Palestin, Syria, Yaman, Myanmar dan dipebagai negara yang sedang bertarung dengan kehidupan akibat peperangan, pembunuhan dan kemusnahan,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang.

Wan Azizah menyeru kepada seluruh umat Islam supaya melakukan islah diri, mempertingkatkan iltizam dan memperkukuhkan khittah perjuangan, bagi mencapai keadilan mutlak untuk rakyat.

Ramadan KEADILAN“Kita juga mesti meningkatkan segala usaha kita dalam semua bidang fardu ‘ain dan fardu kifayah termasuk tuntutan perjuangan as’siasah untuk membangunkan negara mencapai tujuan Maqasid Syariah dengan penuh hikmah.

“Ia agar martabat Karamah Insaniah berdasarkan semangat Rahmatan liL ‘Aalamin dan prinsip keadilan serta kesaksamaan Al’ Adl wa al-Musaawa tercapai,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

JAIS: Hanya tiga ditangkap tak puasa

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 29 JUN: Penangkapan individu tidak menunaikan puasa  tahun ini menunjukkan penurunan apabila Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya menahan tiga individu berbanding dua tahun sebelumnya.

Mengikut statistik JAIS, sebanyak 37 penangkapan direkodkan pada 2014 dan 39 kes sepanjang 2013 di bawah Seksyen 19  Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 membabit kesalahan tidak menghormati Ramadan.

 

pengarah jais aSementara itu, penangkapan umat Islam yang tidak berpuasa seramai tiga orang dicatatkan tahun ini sehingga 26 Jun lalu.

Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim, berkata pihaknya terus melaksanakan Operasi Tidak Menghormati Bulan Ramadan (OPTIMER) bagi mentarbiah umat Islam di negeri itu supaya memahami keistimewaan Ramadan.

“Ini membuktikan daya ketahanan umat Islam masih lemah dan seharusnya kehadiran Ramadan waktu yang tepat dalam memperkukuhkan iman, akidah serta mengembalikan semula daya ketahanan umat Islam.

“Hanya di bulan Ramadan kita dapat menilai ibadah puasa diterima atau sebaliknya dengan melihat kepada perubahan peribadi diri,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Had ke bazar Ramadan, elak pembaziran

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUN: Beberapa wanita bergelar isteri menyokong kenyataan bazar Ramadan menjadi antara faktor pengurangan pahala mereka yang kurang memasak juadah berbuka puasa.

Antara pandangan yang dikongsi mereka adalah setiap isteri perlu berbalik semula kepada ganjaran pahala yang dijanjikan pencipta.

ainSiti Norain Masraban, 29, berkata jangan jadikan alasan bekerja sebagai penghalang kesempatan untuk menjalankan salah satu tanggungjawab.

“Walaupun saya bekerja namun kesempatan untuk berbuka di rumah dengan air tangan sendiri tetap dilakukan. Isteri perlu lebih bijak membahagikan masa,” katanya.

Beliau berkata, juadah berbuka akan dimasak selepas waktu bersahur dan dipanaskan sebelum berbuka puasa.

Bagi Zainab Kusin, 42, dia menganggap alasan tidak berkesempatan itu diberikan bukan hanya untuk isteri bekerja tetapi juga suri rumah.

“Ada juga suri rumah yang lebih suka membeli daripada memasak. Mereka jadikan alasan penat seharian untuk tidak memasak. Itu terpulang pada suami dan diri masing-masing.

photo(2)“Bagi saya, menjadi satu kepuasan kepada jika dapat menyediakan hidangan kepada suami dan anak-anak. Makanan yang sihat datang dari rumah,” katanya.

Semalam, pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata peluang isteri yang mahu mencari pahala lebih kerana menyediakan makanan berbuka akhirnya terbantut akibat pembelian lauk dan kuih dari bazar Ramadan.

Katanya, matlamat puasa rakyat Malaysia juga tidak tercapai jika sunnah dan amalan Nabi Muhammad SAW tidak diikuti.

Beliau turut mencadangkan suami dan anak tidak membeli pelbagai jenis juadah jika tahu isteri atau ibu mereka menyediakan makanan untuk berbuka puasa di rumah bagi mengelakkan pembaziran makanan.

-NFN-

Hukum berpuasa tetapi tidak solat

Kita semua berpuasa dengan harapan mendapatkan keredhaan dan pahala dari Allah.

Bagaimana pula dengan orang yang hanya puasa, tapi tidak bersolat lima waktu?

Adakah sah puasa seorang yang meninggalkan solat?