OLEH Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Hari Gawai adalah hari istimewa buat masyarakat Dayak di Sarawak. Ia menandakan berakhirnya musim menuai dan mulanya musim menanam padi yang baharu.
Kaum Dayak meraikan pesta menuai ini bersama keluarga dan saudara mara biarpun berbeza agama. Perayaan ini menandakan rasa syukur ke atas hasil tuaian yang merupakan simbol serta sumber kehidupan penting bagi masyarakat pribumi.
Hari Gawai juga mengingatkan kita kepada sejarah perjuangan kaum Dayak, masyarakat terbesar di Sarawak, yang berjaya mengiktiraf Hari Gawai sebagai cuti umum di Sarawak bermula 1 Jun 1965.
Pada zaman penjajahan, masyarakat Dayak dihalang menyambut pesta menuai pada waktu berlainan mengikut cara mereka sendiri. Sejurus pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kebangkitan semangat nasionalisme Dayak melahirkan idea untuk satu hari rasmi bagi merayakan Gawai Dayak.
Sesungguhnya Hari Gawai kini merupakan simbol harapan, perpaduan dan aspirasi yang tidak tercabut daripada akar tradisi ketika kita merentas arus pemodenan. Kita dapat menyaksikan betapa keupayaan politik Dayak juga semakin terhakis tanpa dipedulikan pemerintah. Sangat membimbangkan tahap dan kualiti hidup masyarakat Dayak juga masih jauh ketinggalan.
Hak ke atas tanah adat misalnya terus dipinggirkan selain infrastruktur asas yang tidak memuaskan. Keadaan ini mengakibatkan masyarakat Dayak ketinggalan dalam pembangunan dan kemakmuran ekonomi negara yang dinikmati mereka yang lain, meskipun hanya bila tiba pilihan raya negeri, pimpinan Sarawak yang mendekati masyarakat Dayak semata-mata mahu meraih undi.
Saya tetap rasa bangga apabila melihat bara kesedaran untuk mencapai keadilan mula wujud di kalangan masyarakat pribumi Sarawak, termasuklah kaum Dayak. Mereka nampaknya tidak lagi gentar untuk memperjuangkan hak mereka dan berani untuk memenangkan calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Krian dan Ba’ Kelalan.
Kejayaan itu merupakan simbol kesedaran politik baharu di kalangan orang Dayak. Tidak keterlaluan juga apabila kita harus menggesa kerajaan mengiktiraf kekuatan budaya masyarakat Dayak ini setara dengan kaum-kaum lain dengan memberikan cuti umum pada 1 Jun setiap tahun.
Akhirnya, saya mengucapkan Selamat Ngintu Ari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak di Sarawak.