Categories
SELANGOR

PWS lancar ‘Wakaf Ibu Syurgaku’

OLEH : NORHAYATI UMOR

SUBANG, 4 JUN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan program ‘Wakaf Ibu Syurgaku’ bagi mendidik masyarakat Islam untuk berwakaf atas nama ibu.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yong, berkata hasrat PWS dengan menzahirkan program yang unik itu untuk mendidik masyarakat Islam khasnya supaya belajar memberikan hadiah berkekalan selamanya kepada ibu.

“Program ini merupakan satu inisiatif menggalakan wakaf tunai sebagaimana ditekankan dalam ajaran agama Islam,” katanya di majlis Pelancaran Program di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini.

Perbadanan Wakaf SelangorProgram terbabit dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

Abu Bakar berkata program terbabit merupakan program pertama di Malaysia adalah inisiatif untuk meraikan ibu dan kaum wanita yang merupakan penyumbang terbesar kepada dana wakaf tunai PWS.

Pada masa sama, beliau berkata sejak 2011 hingga 2015, jumlah kutipan tunai dari wakaf am dan khas diterima adalah berjumlah lebih RM125 juta.

“Kelazimannya, wakaf diterima dalam bentuk tanah, rumah dan sesuatu yang kekal. Namun, di zaman komedenan dan kegawatan ekonomi tidak semua berkemampuan.

“Oleh itu, saham wakaf tunai diwujudkan dan dibolehkan dalam fatwa kebangsaan dan negeri Selangor bahawa setiap satu nilaian RM10 itu mesti ditukarkan dalam bentuk aset,” katanya.

Beliau berkata pelbagai cara dilakukan PWS untuk memberi kemudahan orang ramai berwakaf iaitu melalui skim infaq potongan gaji dan auto debit serta sistem perbankan online.

“Kita berharap program ini terus mendapat sambutan bukan sahaja daripada individu tetapi juga daripada pihak korporat,” katanya.

Sementara itu, Shamshida menyifatkan program itu sebagai satu inovasi wakaf dalam misi membangunkan ummah.

“Program ini bukan sahaja menarik orang untuk menjalankan program ibadah wakaf tetapi paling penting sekali mengingatkan kita membalas jasa orang paling penting dalam kehidupan kita,” katanya.

Majlis terbabit turut dimeriahkan dengan kehadiran Duta Wakaf Selangor, Ustaz Don Daniyal yang mengendalikan slot sembang Santai Ustaz Don yang merungkaikan tentang kepentingan dan kebaikan wakaf kepada penyumbang serta pembangunan ummah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.