Categories
SELANGOR

RM60,000 naik taraf tiga perhentian bas di Subang Jaya

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 7 JUN: Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di tiga buah kawasan tumpuan orang ramai di Subang Jaya tidak lagi perlu berhimpit-himpit apabila tiga buah perhentian bas terbabit sudah dinaiktaraf.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata projek menaiktaraf melibatkan kerja pelebaran itu memakan belanja kira-kira RM60,000 menerusi peruntukan yang disalurkan kepada ADN Subang Jaya.

“Saya gunakan peruntukan ADN untuk menaiktaraf perhentian bas ini. Pada asalnya perhentian bas ini agak kecil, tak mampu menampung pengguna pengangkutan awam yang ramai terutamanya di waktu kemuncak semasa orang pergi dan balik kerja.

“Bagi perhentian bas di USJ 2 ini, kita besarkan lagi sebanyak 18 kaki, tambah kerusi, tangga dengan kos RM19,968.

“Projek ini dijalankan apabila didapati terlalu ramai menunggu bas di sini terutama di waktu pergi dan balik kerja serta pelajar kolej yang banyak menyewa di sini,” kata Hannah Yeoh kepada media selepas beliau meninjau perhentian bas USJ 2, Persiaran Kewajipan di sini, hari ini.

Katanya dua lagi perhentian bas yang juga dinaiktaraf terletak di SS 19/7 dan di hadapan Subang Parade yang setiap satu turut menelan kos RM20,000.

Katanya lagi, selain keselesaan, beliau turut mengambil kira isu keselamatan dengan memasang besi penghadang atau ‘railing’.

Ia bagi mengelakkan orang ramai terjatuh ke dalam parit berhampiran dengan kos tambahan sebanyak RM5,000 dan juga lampu supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku di sebelah malam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.