Categories
SELANGOR

Sultan: Kemaskini rekod kutipan derma masjid

OLEH : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 25 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan supaya jawatankuasa masjid supaya sentiasa menyimpan dan mengemaskini rekod berkaitan kutipan tabung derma masjid.

Baginda bertitah hal itu kerana tidak mahu mendengar aduan jika jawatankuasa masjid tidak jujur dan menyalahgunakan dana masjid yang diterima daripada orang ramai.

“Sesetengah masjid mempunyai dana dan aset yang banyak yang perlu diurus dengan baik.

CP2A8670-800x533“Sikap jawatankuasa masjid yang tidak jujur dan tidak amanah dalam menjalankan tugas, boleh memburukkan nama baik institusi masjid dan juga umat Islam itu sendiri,” titah Baginda Sultan di Majlis Perasmian Masjid Dato’ Haji Kamaruddin Seksyen 51 A, di sini.

Baginda bertitah jawatankuasa masjid juga perlu berkhidmat dengan jujur dan berintegriti.

“Sistem maklumat ahli kariah juga perlu dikemaskini agar agihan zakat dapat disalurkan dengan cepat, telus dan adil.

“Ini dapat mengelak dari berlaku keciciran dan hak zakat dapat ditunaikan kepada mereka yang telah ditetapkan oleh hukum syarak,” titah baginda.

Baginda turut tidak berkenan masjid dijadikan gelanggang perebutan kuasa antara umat Islam.

Titahnya, di bawah naungan masjid, umat Islam perlu bersatu dalam pegangan akidah yang sama.

“Masjid harus kekal berkecuali dari pengaruh mana-mana kumpulan.

“Oleh itu, amat penting untuk kita sama-sama menjauhi perpecahan yang disebabkan oleh perbezaan pendapat kerana jika perpecahan berlaku, bangsa dan agama kita juga yang akan rugi,” titah Baginda Sultan.

Baginda juga mengharapkan agar setiap pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang dilantik sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Mereka yang mempunyai tauliah sahaja yang dibenarkan untuk berceramah, mengajar, berkuliah dan berkhutbah didalam masjid.

“Ini bagi mengelakkan daripada individu tidak bertanggungjawab menggunakan masjid untuk menyebarkan ajaran sesat atau menanam fahaman yang bersifat, ekstrem dan lain-lain lagi,” titah Baginda Sultan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.