Categories
NASIONAL

Surat Izzah kepada PM, tuntutan rawatan hospital Anwar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JUN : KEADILAN mengulangi tuntutan rawatan perubatan di hospital berhubung kesakitan tulang belakang dialami Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar menerusi surat dihantar pihaknya kepada Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya.
IZZAH-ANWAR

“Pihak keluarga dimaklumkan tentang penangguhan rawatan Magnetic Resonance Imaging (MRI) disebabkan tekanan darah yang masih tinggi dan tidak sesuai untuk prosedur MRI.

“Beliau sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala secara optimalnya sementara menunggu pelaksanaan pembedahan ‘reverse shoulder replacement’ ditawarkan Georgetown University.

“Rawatan tersebut (adalah) untuk kesakitan otot bahu kanan akibat kemalangan 2 tahun lalu, yang melarat sehingga kerosakan otot,” tulis Izzah dalam surat bertarikh 22 Jun itu.

Dalam surat tersebut, Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata Kerajaan Persekutuan mengamalkan double standard berhubung layanan diterima bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo.

“Saya tidak boleh terus melihat kesihatan ayahanda terus merosot dengan tempat penahanan yang tidak sesuai dengan keperluan ayahanda yang bakal mencecah umur 70 tahun.

“Saya kira Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan bekas pegawai kerajaan kedua tertinggi di negara, sewajarnya mendapat layanan yang jauh lebih baik daripada mantan Menteri Besar Selangor yang diberi kemudahan tahanan parol di rumah walaupun sabitan kurang setahun,” katanya.

Bekas Ketua Pembangkang itu sebelum ini dikejarkan ke hospital 15 Jun lalu, selepas mengadu kesakitan di bahagian tulang belakangnya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.