Categories
NASIONAL

Euro 2016: Perancis ke separuh akhir berdepan Jerman

OLEH AFIX REDZUAN

PARIS, 4 JUL: Perancis melangkah ke peringkat separuh akhir Euro 2016 dengan penuh bergaya selepas mengakhiri cabaran pasukan bukan pilihan, Iceland 5-2.

Les Bleus turun selaku tuan rumah tidak berdepan banyak masalah dengan penguasaan bola 59 peratus meskipun Iceland mempamerkan kebangkitan memberangsangkan pada separuh masa kedua.

Aksi babak pertama menyaksikan Perancis membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 hasil rembatan kaki kiri penyerang, Olivier Giroud yang berjaya melepasi perangkap off-side pertahanan Iceland selepas menerima hantaran Blaise Matuidi.

og-defaultPaul Pogba melebarkan jumlah jaringan kepada 2-0 bagi memastikan Les Bleus selesa mendahului dalam tempoh 20 minit pertama menerusi tandukan selepas menyambut sepakan penjuru Antoine Griezmann.

Jentera serangan Perancis terus rakus merobek pertahanan Iceland dengan gol ketiga hasil rembatan leret kaki kiri Dimitri Payet pada minit ke-43.

Griezmann memastikan Perancis mengakhiri separuh masa pertama dengan penuh bergaya apabila berjaya menjaringkan gol keempat selepas memperdaya pertahanan dan melakukan larian solo sebelum melambungkan bola ke gawang dikawal Hannes Thor Halldorsson.

Ini adalah jaringan keempat Griezmann daripada lima perlawanan sepanjang Euro 2016.

Bersambung babak kedua, Iceland melakukan pertukaran tektikal dan berjaya menjaringkan gol pertama menerusi tolakan Kolbeinn Sighthorsson pada minit ke-56.

Giroud menambah koleksi jaringan peribadi tiga minit kemudian bagi memastikan Perancis selesa mendahului 5-1 selepas berjaya melonjak tinggi untuk menanduk bola sepakan percuma Payet pada minit ke-59.

Di penghujung permainan, Iceland berjaya merapatkan defisit jaringan kepada 5-2 pada minit ke-84 hasil tandukan Birkir Bjarnason.

Dengan keputusan itu, Perancis selaku juara dua kali kejohanan bakal bertemu Juara Piala Dunia 2014, Jerman dalam aksi separuh akhir minggu hadapan.
*Separuh Akhir Euro 2016

Portugal vs Wales

Jerman vs Perancis

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.