Categories
SELANGOR

Kain rentang fitnah cuba alihkan isu rasuah 1MDB & Malaysian Official 1

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JULAI: Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir menafikan beliau bersama dua individu lain, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Cynthia Gabriel terlibat dalam forum mengenai pendedahan skandal kewangan didakwa berlangsung hujung bulan ini di Dewan MPAJ, Ampang.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, kemunculan kain rentang provokasi itu menjurus kepada usaha mengalihkan tumpuan rakyat dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ‘Malaysian Official 1’ yang sedang hangat diperkatakan.

13627012_10209027941647659_3380482772239828352_n
Poster fitnah pihak tertentu untuk alihkan isu skandal 1MDB

“Saya memaklumkan perkara ini kepada Rafizi Ramli serta Cynthia Gabriel dan kami mengecam sekeras-kerasnya cubaan fitnah terhadap kami dan juga cubaan memburukkan usaha masyarakat sivil memerangi rasuah seperti NOW dan C4.

“Ini merupakan fitnah jahat mereka yang mahu mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal 1MDB dan juga ‘Malaysian Official 1’.

“Ini seolah-olah menunjukkan saman sivil oleh Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat memberi kesan besar hingga terpaksa mendesak kumpulan tertentu menggunakan taktik kotor untuk mempertahankan 1MDB dan ‘Malaysian Official 1’,” katanya.

Katanya, NOW tidak berkompromi dalam membongkar skandal rasuah dan salah guna kuasa tambahan mereka kini menumpukan pendedahan skandal melibatkan Tabung Haji.

“Ini juga cubaan untuk melemahkan rakyat untuk bersatu menyatakan bantahan secara demokrasi sama ada melalui pilihan raya mahupun himpunan aman,” katanya.

13654168_10209027941487655_3914903341427970830_n
Program Dr Maszlee Malik di Kangar

Kemunculan kain rentang provokasi pagi ini di beberapa lokasi termasuk di Ampang, Gombak dan Shah Alam turut mengaitkan Dr Maszlee Malik yang bertindak selaku moderator.

Maszlee menerusi akaun facebooknya menjelaskan beliau mempunyai program lain di Kangar, Perlis pada 30 Julai, tarikh yang didakwa bakal berlangsungnya forum itu.

“Macai-macai ni pun nak buat ‘fake poster’ buatlah homework (kerja rumah) dulu. Saya bukannya ada hantu raya nak muncul di dua tempat dalam satu masa.

“Nak menipu biarlah cerdik sikit adik-adik oi. Apapun terima kasih kerana meminati saya sebagai moderator forum,” katanya sinis.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.