Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM sedia kompaktor baru dilengkapi teknologi pengesan

OLEH LIZAWATI MADFA

Sehingga kini, masih lagi terdengar rungutan berkenaan isu kutipan sampah di Selangor walaupun sudah beberapa tahun dikembali dan diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengikut kajian yang dijalankan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), industri pengurusan sisa pepejal ini boleh ditingkatkan perkhidmatannya dengan membuat pelaburan pelaburan baru seperti pembelian aset dan jentera seperti kompaktor bagi meningkatkan keupayaan kutipan khususnya sampah domestik.

IMG_2182Maka, sebagai mengorak langkah untuk penambahbaikan pengurusan sisa pepejal ini, Kerajaan Negeri melantik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) iaitu syarikat milikan penuh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk menunjangi projek perintis (Pilot Project) pengurusan sampah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

KDEBWM bukan syarikat baru. Pada 2008, KDEB mengambil alih syarikat Jetson Corporation Sdn Bhd yang turut memiliki 21 peratus pegangan saham di dalam Alam Flora Sdn Bhd.

Nama Jetson Corporation Sdn Bhd ini ditukar kepada KDEBWM yang memiliki pegangan 100 peratus syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd (HASB) sebagai kontraktor kutipan sampah domestik dan pembersihan awam.

Pada 2012, KDEBWM meningkatkan keupayaan kapasiti asetnya dengan membuat pembelian 50 kompaktor untuk disewakan kepada sub kontraktor di Selangor supaya kerja kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Manakala, khidmat HASB pula sering digunakan untuk membuat kerja kutipan sampah domestik di beberapa PBT dan jika berlaku sebarang krisis membabitkan PBT, khidmat HASB juga dikerah bagi kerja sokongan.

Tidak dapat dinafikan, PBT sedaya upaya menguruskan kutipan sampah pada satu tahap yang baik dan dianggap berjaya, namun masih terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan.

KDEB 3Melihat kepada itu, Kerajaan Negeri melantik KDEBWM sebagai PMC (Project Management Company) bagi menguruskan pengurusan bersepadu kutipan sampah domestik dan pembersihan awam di MPK sebagai projek perintis.

Sebagai PMC, Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Mohd Tahir yakin pihaknya berupaya meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan isu sampah secara keseluruhannya.

Katanya, PMC akan mampu membuat pelaburan baru bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal ini dengan beberapa penambahbaikan baru yang diperkenalkan.

“Menerusi proses ‘open tender’ di PBT sebelum ini, tidak ramai sub kontraktor yang mampu membeli aset baru, malahan mereka terpaksa menggunakan kompaktor yang lama.

“PMC bertindak sebagai pengurus dan pemudah cara bagi PBT dan sub kontraktor seterusnya akan menambah baik pengurusan sebelum ini,” katanya.

Dengan kos kira-kira RM23 juta, 60 kompaktor baru buatan Jepun berteknologi tinggi muatan 18 tan dijangka sedia beraksi pada pertengahan Ogos ini di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Klang.

Setiap sub kontraktor akan dibekalkan dengan kompaktor baru dan dikenakan caj bulanan sebelum dipindah milik sepenuhnya kepada mereka selepas lima tahun.

Selaras dengan inisiatif Smart Selangor, kompaktor ini juga setiap satunya dilengkapi teknologi pintar seperti Automatic Vehicle Locating System (AVLS) dan ‘Load Cell’ dan pengenalan kepada aplikasi pintar I-Clean.

Ketiga-tiga teknologi ini akan diakseskan terus dengan pusat aduan KDEBWM, Command Centre yang dikendali empat pegawai khidmat pelanggan bermula daripada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

DSC_4309Bukan itu sahaja, seramai 25 penyelia turut bersedia di lapangan bagi memantau kerja kutipan sampah domestik mengikut jadual dijalankan.

“Andainya terdapat dakwaan penduduk sampah tidak dikutip, kita dapat lihat secara langsung di mana kedudukan kompaktor itu dan kami boleh respon terus kepada pemanggil .

“Jika berlaku sesuatu kepada kompaktor, penyelia terus digesa pergi memeriksa keadaan dan lapor kepada Command Centre untuk tindakan seterusnya.

“Begitu juga dengan ‘load cell’, kita dapat tahu berapa banyak sampah sudah dikutip kompaktor berkenaan dan memantau kerja dengan lebih efisien,” katanya.

Sehubungan itu, KDEBWM memohon diberikan masa sedikit lagi bagi menambahbaik pengurusan sisa pepejal di MPK yang sedikit tergendala di atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan baru-baru ini berikutan peralihan kepada kontraktor baru yang masih lagi mengenali kawasan masing masing dan cuti perayaan Aidilfitri.

“Saya jamin, dengan adanya kompaktor baru di setiap zon dan dilengkapi teknologi pengesan, Command Centre serta kakitangan di lapangan, masalah kutipan sampah pasti beransur pulih.

“Berilah kami peluang membuktikan keupayaan kami. Kenalilah kami. Tak kenal maka tak cinta,” katanya.

 

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.