Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SENI

Kekejaman ibu tiri pisahkan dua beradik, Lela Manja sarat mesej kerinduan

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

ISTANA Budaya sekali lagi berjaya menampilkan kelainan melalui karya klasik Lela Manja yang penuh dengan mainan emosi dan kerinduan dengan menampilkan pelakon terkenal tanah air yang mula dipentaskan, pada 22 Julai lalu.

Istimewanya skrip teater klasik yang dihasilkan Hairul Anuar Harun yang juga terkenal sebagai penulis lirik lagu Cindai nyanyian Datuk Siti Nurhaliza itu adalah mesej yang cuba diketengahkan iaitu kerinduan dua beradik Lela dan Manja yang terpisah akibat kekejaman si ibu tiri, Dang Suri.

Naskhah adaptasi daripada filem hitam putih terkenal tahun 1960 arahan Jamil Sulong itu juga menerapkan sedikit elemen berbeza daripada karya asal apabila watak Dang Suri lakonan hebat Nabila Huda dipanjangkan sehingga ke akhir teater sebagai nenek kebayan, berbanding di dalam filem.

Siapa tidak kenal dengan Nabila Huda yang mampu membawa apa juga watak ditawarkan kepadanya dan kali ini pelakon yang sinonim dengan panggilan Abil itu sekali lagi berjaya mencuit hati penonton apabila beraksi dengan cemerlang sebagai Dang Suri.

_IBC9004
Gambar ihsan Istana Budaya

Aksi spontan Abil dalam beberapa babak memperlihatkan kematangannya di pentas teater dan watak ibu tiri yang kejam serta penuh muslihat turut memberi kesan mendalam bagi setiap yang menonton naskhah itu, bahkan lebih menarik apabila ia tidak dibayangi dengan watak asal di dalam filem lakonan seniwati Normadiah.

Teater kerjasama Istana Budaya dan Creative Impact Solutions yang berkonsepkan bangsawan dan rakyat itu juga memperlihatkan aksi hebat Aeril Zafril yang pertama kali beraksi di pentas teater apabila berjaya membawa watak Manja dengan gaya tersendiri.

Beberapa kali, pelakon berusia 27 tahun itu menegaskan dia banyak belajar untuk menjiwai watak Manja dan mengakui terdapat perbezaan ketara antara lakonan filem dan drama dengan pementasan teater.

“Saya banyak menonton filem lama untuk menjayakan watak Manja dan belajar cara pahlawan berjalan. Saya akui berlakon teater sedikit penat berbanding drama atau filem, namun ia sebenarnya memberi cabaran sebagai anak seni,” katanya ketika ditemui SelangorKini selepas pementasan teater berkenaan, pada 23 Julai lalu.

Selain Nabila dan Aeril, Lela Manja turut dijayakan beberapa lagi pelakon terkenal antaranya Shahrolnizam Noor (Sang Naka), Sari Yanti (Lela Sari), Hafidz Roshdi (Raja Muda) dan Rashdan Baba (Megat Sura).

Bagi watak Lela Sari, Sang Naka dan Megat Sura pula, kehebatan tiga pelakon yang memegang watak itu tidak boleh disangkal lagi kerana berpengalaman dalam naskhah klasik terutama Shahrolnizam.

Sari Yanti juga berjaya memainkan elemen kelembutan dan ketegasan dalam menjayakan watak Lela Sari yang mungkin boleh dikatakan amat sesuai dengan perwatakan ibu beranak dua itu yang sangat terkenal dengan gaya lemah lembutnya.

_IBC9715
Gambar ihsan Istana Budaya

Lela Manja mengisahkan dua beradik yang menjadi mangsa kekejaman ibu tiri sehingga mengubah perjalanan kehidupan mereka daripada kecil sehingga dewasa terutama selepas terpisah akibat pembunuhan bapa mereka, Sang Naka.

Kehidupan bahagia dua beradik itu berubah selepas Sang Naka berkahwin dengan Dang Suri yang difikirkan mampu mengganti arwah isterinya, namun tanpa disedari wanita itu sangat licik dan curang di belakangnya.

Lebih malang, Lela dan Manja sering menjadi mangsa apabila dipukul dan dikerah melakukan kerja berat ketika Sang Naka ke luar negeri kerana bertugas sebagai pegawai istana. Dang Suri menggunakan peluang itu untuk menjalinkan hubungan dengan kawan baik suaminya, Megat Sura.

Kedua pengkhianat itu membunuh Sang Naka apabila rahsia mereka diketahui, manakala Lela dan Manja pula terpisah selepas sampan yang sudah dinaiki Lela hanyut ekoran arus deras ketika mereka cuba melarikan diri kerana takut diapa-apakan Megat Sura dan Dang Suri.

Selepas mengetahui apa yang terjadi daripada Lela, Sultan dan rombongan terus ke rumah Sang Naka dan menangkap Megat Sura juga Dang Suri yang kebetulan ingin menyembunyikan mayat itu. Megat Sura cuba memberontak dan dibunuh pengawal, manakala Dang Suri diikat di pokok berdekatan hutan serta ditoreh badannya sebagai hukuman.

_IBC7069
Gambar ihsan Istana Budaya

Di sinilah bermulanya dendam anak Megat Sura iaitu Megat Komeng lakonan Jay Iswazir atas kematian bapanya itu dan ia sangat ‘sampai’ kepada penonton. Tidak kurang juga, watak Panglima Harimau Berantai pengikut setia Komeng yang dilakonkan Syazwan Zulkifly.

Pujian juga harus diberikan kepada pelakon kanak-kanak yang membawakan watak Lela dan Manja ketika kecil iaitu Izzya Reen dan Wafiy terutama ketika babak Lela dan Manja mengunjungi pusara ibu mereka yang membuatkan penonton terdiam.

Sementara itu, penonton, Hisham Alias pula menyifatkan plot naskhah itu memang menarik walaupun agak berat dan penyampaian mesej seperti dendam juga nafsu agak mudah dihadam siapa sahaja yang menontonnya.

“Persembahan sangat bagus kerana bukan mudah berlakon secara langsung, namun ada sesetengah pelakon agak keterlaluan seperti Nabila Huda. Saya akui dia berbakat dan pandai menjiwai watak, namun tidak perlu rasanya ibu tiri berjalan seperti pinggang terkehel.

“Pelakon juga harus didedahkan dengan pergerakan silat yang lebih asli kerana ada yang nampak sangat tidak berseni ketika melakukan aksi itu. Saya suka adegan silat antara Shahrolnizam dan Rashdan Baba kerana memang nampak berseni. ,” katanya.

Memang diakui, daripada segi rekaan set menampakkan kesungguhan dalam setiap babak dan susunan cerita dalam teater yang turut sarat dengan mesej kekeluargaan selain ada menyelitkan aspek kesetiaan juga ketaatan kepada negara yang pastinya menjanjikan kepuasan buat peminat seni teater tanah air.

_IBC9278
Gambar ihsan Istana Budaya

Teater itu juga turut diperindahkan dengan tiga lagu baru iaitu Kiasan Rindu, Serampang Serumpun dan Dakapan Ibu yang digubah Rosli Abu Bakar, manakala liriknya ditulis Hairul Anuar sendiri.

Tidak dinafikan lirik sentuhan Hairul Anuar masih kekal segar dan mempunyai keistimewaan tersendiri, bahkan ia menjadi elemen membangkitkan lagi kepuasan mereka yang menonton Lela Manja.

Peminat teater boleh menyaksikan plot hebat di dalam naskhah arahan Ramli Lani dan dibantu Khairulnazwan Rodzy itu yang akan dipentaskan sekali lagi pada 29 dan 30 Julai ini (8.30 malam), manakala pada 31 Julai pula bermula jam 3 petang dengan harga tiket bermula RM33 hingga RM253 yang boleh dibeli di AirAsiaRedTix.com.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.