Categories
NASIONAL

Kerajaan digesa kaji kewujudan pengaruh kumpulan keganasan – ABIM

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Persekutuan digesa menjalankan siasatan rapi dan kajian bagi mengenal pasti kumpulan sasaran yang mempunyai kaitan dengan keganasan militan di negara ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata langkah itu perlu dilakukan segera bagi memastikan ancaman keganasan seperti IS dapat dielakkan.

“Satu kajian menyeluruh perlu dilakukan untuk mendapat kepastian akan kewujudan pengaruhnya dengan tindakan dapat dilakukan terhadap kumpulan sasaran berlandaskan undang-undang.

ABIM-RAIMI-300x236“Walaupun tidak menolak kemungkinan wujud di institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi ia perlu dipastikan kebenarannya,” katanya kepada SelangorKini,.

Beliau berkata, dengan segala kemudahan perhubungan termasuk komunikasi media sosial canggih pada masa kini, tidak mustahil idealogi serta pengaruh kumpulan berkenaan mampu disebarkan secara meluas dan cepat di pelbagai lokasi difikirkan sesuai.

Katanya, adalah penting supaya isu sebegini dipantau secara teliti demi memastikan ia dapat diatasi dengan berhemah dan semangat demokrasi.

“Kejadian serangan bom di pusat hiburan di Puchong baru-baru ini juga tidak dapat membuktikan ia mempunyai kaitan dengan IPT, maka siasatan rapi harus dijalankan bagi mencari punca sebenar,” katanya.

Memetik Bernama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan IPT dikenal pasti sebagai tempat dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan keganasan militan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.