Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBPJ bayar RM5 setiap gagak dalam kempen tembak dua minggu

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 27 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjalankan Kempen Tembak Gagak MBPJ 2016 selama dua minggu setiap Sabtu dan Ahad (13,14, 20, 21 Ogos).

Timbalan Datuk Bandarnya, Johary Anuar, berkata operasi yang bermula jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam itu sebahagian daripada usaha MBPJ untuk mengurangkan populasi burung gagak.

Katanya, MBPJ menerima pelbagai aduan kacau ganggu burung gagak oleh orang awam setiap tahun termasuk masalah kesihatan dan pelbagai kekotoran di kawasan rumah, perniagaan dan kenderaan.

gagak“Sebanyak 22 aduan diterima pada 2012, 28 aduan (2013), 33 aduan (2014), 30 aduan (2015) dan 12 aduan diterima dari Januari hingga bulan ini.

“Masalah yang sering ditimbulkan burung gagak ini ialah merosakkan bungkusan sampah, sekali gus mengotorkan kawasan persekitaran dan membawa kacau ganggu kepada pengunjung tempat awam seperti taman permainan, taman rekreasi dan pasar malam,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Johary berkata, 5,162 burung gagak berjaya ditembak dan MBPJ membayar RM25,810 kepada 32 penembak, tahun lalu.

“Menerusi kempen itu, setiap ekor gagak dibayar RM5 oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ dan seramai 38 peserta akan menyertai operasi kempen gagak itu nanti.

“Hanya peserta yang mempunyai lesen senjata api dan syarat tambahan memburu sahaja dibenarkan untuk menyertai operasi ini seperti ditetapkan polis dan kelulusan diperolehi daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk menjalankan operasi itu,” katanya.

Beliau berkata, peserta diingatkan untuk tidak melepaskan tembakan di tempat awam seperti sekolah, masjid, gereja, kuil dan hospital.

“Ketika operasi berlangsung, akan berlaku gangguan bising berikutan bunyi tembakan senapang yang digunakan dan MBPJ berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.