Categories
NASIONAL

Minyak naik 5 sen, hadiah kemenangan BN

SHAH ALAM, 30 JUN: Kerajaan Persekutuan terus membebani rakyat apabila sekali lagi menaikkan harga petrol dan diesel ketika umat Islam dalam persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak sampai seminggu.

Harga runcit petrol dinaikkan lima sen seliter bermakna harga baru RON95 menjadi RM1.75 seliter, manakala RON97 dijual pada RM2.10 seliter berkuatkuasa tengah malam ini.

Bagi diesel pula, harga barunya adalah RM1.60 dan kali terakhir harga minyak naik adalah pada April lalu yang tidak berubah selama tiga bulan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata kenaikan harga minyak menjelang Aidilfitri membebankan umat Islan yang sedang membuat persiapan terutama barang keperluan selain bakal pulang bercuti di kampung halaman.

ABIM RAIMI“Nampaknya mekanisme apungan harga yang diperkenalkan kerajaan ini perlu ditukar kepada mekanisme kawalan khususnya menjelang hari perayaan supaya rakyat tidak terbeban.

“Apa jaminan bahawa harga barang tidak akan dinaikkan menjelang hari raya? Kenaikan harga minyak amat mempengaruhi kenaikan harga barang yang lain selain cukai GST sedia ada,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Beberapa pihak turut mengaitkan keadaan tidak berubah itu dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak juga Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar selain peningkatan harga pasaran minyak mentah, sejak beberapa bulan lalu.

Kerajaan Persekutuan menentukan harga bahan api melalui apungan terurus yang mengambil kira beberapa faktor termasuk harga minyak mentah dunia dan kekuatan nilai mata wang negara pada bulan sebelumnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.