Categories
SELANGOR

Sederhana rai Syawal, jauhi perkara lagha

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JULAI: Syawal sebagai bulan kemenangan buat umat Islam seluruh dunia perlu dirai secara bersederhana dengan memanfaatkan hari penuh bermakna itu bersama keluarga tercinta.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali, berkata peluang beraya di kampung perlu digunakan sebaiknya dengan menyantuni dan menghargai keluarga.

“Khusus untuk masyarakat yang pulang beraya di kampung, inilah peluang untuk anda berbakti kepada ibu dan bapa. Gunakan waktu terluang semaksima mungkin dengan menyantuni dan menyayangi mereka.

Dr Halimah Ali“Elakkan daripada melakukan perkara lagha dan sia-sia. Budaya ziarah-menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara sangat dituntut dalam Islam,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Halimah turut meningatkan umat Islam supaya mengamalkan nilai dan akhlak mulia, hormat-menghormati serta saling bermaafan antara satu sama lain.

Beliau berkata, masyarakat juga disaran menjaga adab serta batas pergaulan seperti dituntut agama.

“Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih dalam menyambut apa saja perayaan seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih-muih terlalu banyak.

“Bersederhana dalam berbelanja dan perbanyakkan bersedekah. Selain itu, kebiasaannya ramai yang akan menggayakan pelbagai fesyen terkini.

“Justeru, pakailah pakaian wajib menutup aurat dan tidak menampakkan bentuk badan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.