Categories
SELANGOR

Sekat Exco Kerajaan Negeri serah bantuan persekolahan tidak profesional

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 JULAI: Tindakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)  Hulu Selangor menghalang Exco Kerajaan Selangor masuk ke SJKT Ladang Kerling bagi menyerahkan sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah kepada 59 pelajar semalam tidak wajar berlaku.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, berkata pembangunan pelajar tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan politik bahkan semua pihak perlu bersikap profesional membantu keluarga pekerja ladang kurang berkemampuan.

Exco Bantuan“Guru Besar dan PIBG sekolah sangat membantu sebelum ini. PPD sudah memanggil mereka dan memberikan amaran keras supaya Kerajaan Negeri tidak dibenarkan menyampaikan bantuan.

“Mereka memanggil Kerajaan (Negeri) sebagai pembangkang adalah salah kerana kita adalah kerajaan. Mereka halang program kita untuk menyampaikan bantuan kepada anak pekerja ladang,” katanya kepada SelangorKini.

Halangan terhadap Ganabatirau menyaksikan beliau menyerahkan sumbangan berjumlah RM300 buat setiap anak ladang di luar pagar sekolah walaupun hujan.

Sebelum ini, halangan sama turut berlaku di SJKT Ladang Sungai Choh yang juga terletak di Parlimen Hulu Selangor.

Namun situasi berbeza berlaku di kawasan Bukit Raja apabila beliau akhirnya dapat menyerahkan bantuan meskipun dihalang pada awalnya.

“Kita bimbang Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan I menyalahgunakan kuasanya mengawal PPD untuk menghalang Kerajaan Negeri.

Saya menuntut beliau bertanggungjawab atas halangan ini,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.