Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kekal prinsip kesamarataan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 29 JULAI : Prinsip kesamarataan tanpa perbandingan kaum menjadi pegangan Kerajaan Selangor dalam aspek pembangunan belia dan kebajikan di seluruh negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata ketetapan itu diambil bagi memastikan rakyat Selangor menikmati hasil negeri secara adil.

“Kita tidak mengamalkan aspek perkauman khusus, namun program kita menyeluruh antaranya program gerak belia tempatan yang membabitkan semua golongan.

Amirudin Shari a“Kerajaan Negeri juga terbuka mengambil maklum sebarang cadangan untuk diketengahkan dan sesuai dengan kehendak masyarakat yang diwakili mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kemajuan aspek kebajikan belia khususnya dalam kalangan kaum India di seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Amirudin percaya aspek pembangunan kaum India tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dengan mengambil kira peranan digalas Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau.

“Program pembangunan dan pendidikan kaum India yang digerakkan Yb Ganabatirau mampu meningkatkan taraf hidup dan sosial mobiliti masyarakat India di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri konsisten memastikan aspek pembangunan masyarakat India terus terjamin menerusi beberapa insentif dan manfaat jangka panjang kepada kaum itu.

Ini termasuklah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah, bantuan perladangan dan pembangunan sekolah SRJK Tamil (T).

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.