Categories
SELANGOR

Serangan terbuka bukti Malaysia tak selamat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Serangan ganas secara terbuka di tempat awam membuktikan Malaysia kini tidak lagi selamat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata kejadian serangan menggunakan senjata api secara terbuka di tempat awam mengejutkan orang ramai.

Beliau bimbang rakyat Malaysia menjadi sasaran akibat peluru sesat atau disangka sebagai mangsa.

ISKANDAR SAMAD“Walaupun rakyat biasa bukan sasaran, namun mereka juga boleh menjadi mangsa akibat peluru sesat atau disangka sebagai mangsa.

“Jika bom digunakan, maka mereka yang tidak terlibat akan turut tercedera malahan terkorban,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Iskandar menggesa polis menyelesaikan kes itu secepat mungkin sehingga mereka yang bertanggungjawab ditahan, didakwa dan dihukum.

Katanya, penjenayah akan bertindak ganas dan sesuka hati jika merasakan diri mereka akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Peningkatan jenayah ganas akhir-akhir ini menimbulkan persoalan sama ada penjenayah hari ini merasakan diri mereka tidak akan dapat dijejaki.

“Oleh yang demikian polis perlu meningkatkan keyakinan rakyat dengan tindakan pantas dan berkesan.

“Memang diakui polis sedang menumpukan usaha mereka untuk membanteras keganasan tetapi jenayah berat yang lain juga perlu diberi perhatian,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.