Categories
NASIONAL

Skandal 1MDB: Lebih baik Najib bercuti

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JULAI: Dunia dikejutkan apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (US Department of Justice, DOJ) memfailkan tindakan undang-undang merampas aset lebih RM4 bilion (USD1 bilion) berkaitan konspirasi antarabangsa mengubah wang haram dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, berkata sidang media DOJ dengan jelas menyatakan RM4 bilion itu adalah sebahagian dari lebihan RM14 bilion (USD3.5 bilion) yang dikenal pasti dilarikan dari 1MDB antara 2009 hingga 2015.

WAWI“Jangka masa ini bertindih sepenuhnya dengan jangka masa Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“DOJ juga menamakan individu didakwa terlibat iaitu Riza Aziz, anak tiri kepada Najib Razak, Jho Low, Khadem Abdulla Al-Qubaisi dan Mohammed Ahmed Badawy Al-Husseiny,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata, jawatan Najib sebagai Perdana Menteri memberinya kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan termasuk pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, Perkara 117 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB yang berkuatkuasa pada ketika wang RM14 bilion itu didakwa dilarikan dari 1MDB meletakkan tanggungjawab meluluskan “komitmen kewangan, penyusunan semula atau sebarang perkara yang melibatkan jaminan kerajaan” di tangan Perdana Menteri.

“Saya percaya rakyat Malaysia mahukan Najib untuk mengambil cuti sebagai Perdana Menteri supaya tidak timbul syak wasangka salah guna kuasa melengah atau menghalang siasatan penuh terhadap isu serius ini.

“Saya juga menggesa kabinet menasihatkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menitahkan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat tuduhan wang RM14 bilion dilarikan dari serta mencadangkan individu terlibat dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.