Categories
SELANGOR

The Red Giants ‘lega’ aksi pemain import, optimis pamer persembahan terbaik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 28 JULAI : Meskipun tewas di gelanggang sendiri pada aksi bertemu KL Felda United, namun The Red Giants boleh menarik nafas lega melihat prestasi dan persembahan dipamerkan pemain import barunya, Ugo Ukah.

Pengurus Pasukan, Amirudin Shari, berkata pemain itu berada di landasan terbaik untuk membantu pasukan berada di kedudukan terbaik Liga Super, musim ini.

Amirudin Shari a“Saya sangat berpuas hati dengan pemain import baru kita, walaupun terdapat kecederaan melibatkan beberapa pemain utama, ia agak memberi kesan kepada corak permainan kita.

“Saya jangkakan, pemain terus beraksi dengan baik mengikut percaturan dan strategi disusun Zainal Abidin (jurulatih) dalam aksi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi tayangan perdana filem ‘Kabali’ bersama komuniti Indian Selangor Youths di Summit USJ, malam tadi.

Ugo Ukah, sinonim dengan panggilan ‘UK’ sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Nigeria sebelum menamatkan kontrak akhir bersama pasukan Liga Greece, AEL Kallon.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hasan sebelum ini berkata jendela pemindahan pemain dirangka sejak Jun lalu diyakini mampu menguatkan lagi jentera pertahanan pasukan Juara Piala Malaysia 2015 itu.

Dalam perkembangan lalu, The Red Giants gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila tewas 2-1 kepada KL Felda United di Stadium Shah Alam, selasa lalu.

Bagaimanapun, The Red Giants diyakini mampu berada di kelompok terbaik berdasarkan kutipan mata dalam aksi terdahulu.

The Red Giants kini berada di kedudukan ketiga di bawah pendahulu liga, Johor Darul Takzim dengan kutipan 26 mata dalam misi menjulang trofi Juara Liga Super 2016.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.