Categories
SUKANKINI

32 pasukan rebut Piala Dato’ Mokhtar Dahari

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 29 OGOS: 32 pasukan seluruh negeri bakal berentap bagi merebut Piala Dato’ Mokhtar Dahari edisi ketiga bermula 30 Ogos ini.

Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir, berkata acara berprestij itu bertujuan mengenal pasti dan mencungkil bakat baru bola sepak dalam kalangan remaja.

“Dengan ini, lebih banyak bakat dapat diketengahkan sebagai pemain negeri seterusnya mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dalam arena bola sepak Malaysia,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika Majlis Perasmian Piala Dato’ Mokhtar Dahari yang berlangsung di sini, pada 27 Ogos lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan dan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim.

Kejohanan itu mengekalkan tajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) berjumlah RM150,000 selama tiga tahun berturut-turut.

PIALA 2Perangsang Selangor turut memperkenalkan jersi tajaan yang akan digunakan lapan pasukan yang layak ke perlawanan suku akhir.

Tuan rumah bagi edisi kali ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, sementara perlawanaan akhir dijangka berlangsung pada 17 September 2016 bertempat di Kompleks Sukan MPSJ, Subang Jaya.

Johan bakal menerima wang tunai RM10,000 berserta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan, naib johan (RM7,000), tempat ke-3 (RM5,000), manakala tempat ke-4 (RM3,000).

Selain itu, terdapat juga anugerah lain iaitu Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak dan Penjaga Gol Terbaik (Tangan Emas).

Kejohanan kali ini turut diselitkan Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia.

Ia bagi memberi pendedahan awal kepada pemain bola sepak remaja Selangor berkenaan kerjaya dan masa depan sukan terbabit.

-AA-